Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pertimbangkan semula GST untuk manfaat rakyat, usul pakar ekonomi M'sia

Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan semula pelaksanaan GST yang merupakan sistem cukai yang lebih menyeluruh dan adil yang dapat membantu meningkatkan pendapatannya bahkan memberi manfaat kepada rakyat daripada segi penyampaian perkhidmatan awam lebih baik, kata Profesor Noor Azlan Ghazali .

Anggaran Waktu Membaca:
Pertimbangkan semula GST untuk manfaat rakyat, usul pakar ekonomi M'sia

Profesor Noor Azlan Ghazali. (Gambar: Dato Seri Hamidon Ramudin/Facebook)

Diterbitkan : 17 Jun 2021 06:51PM Dikemas Kini : 17 Jun 2021 06:57PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang merupakan sistem cukai yang lebih menyeluruh dan adil yang dapat membantu meningkatkan pendapatannya bahkan memberi manfaat kepada rakyat daripada segi penyampaian perkhidmatan awam lebih baik, kata Profesor Noor Azlan Ghazali .

Profesor Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Graduate School of Business, Profesor Noor Azlan Ghazali berkata terdapat banyak cara GST dapat dilaksanakan semula dengan cukai tersebut dikutip mengikut wilayah di beberapa negara bergantung kepada kekayaan wilayah berkenaan.

"Saya penyokong GST kerana saya yakin bahawa ia adalah sistem yang lebih menyeluruh atau lebih adil tetapi sudah tentu anda perlu memperkenalkannya dengan betul dan teratur serta menjelaskannya kepada orang ramai, memastikan mereka memahami dan melihat manfaatnya.

"Kebimbangan timbul apabila anda mengutip cukai tetapi orang ramai tidak mendapat manfaatnya,” katanya ketika persidangan online Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini (17 Jun).

Profesor Noor Azlan berkata Jerman dan Finland yang memungut cukai antara 20 dan 30 peratus, menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya. 

Apabila rakyat berpendidikan tinggi, kita semua mendapat manfaatnya, antaranya adalah insiden jenayah dan pencemaran alam sekitar bekurangan serta rakyat menjadi lebih berdisiplin, katanya. 

Bagaimanapun, beliau memberitahu Malaysia mengutip jumlah cukai lebih rendah berbanding negara-negara lain dan tidak setara dengan apa yang dijangka.

Berkongsi datanya, Profesor Noor Azlan berkata Malaysia kini mempunyai sekitar 32 juta penduduk dengan 15 juta tenaga kerja, tetapi hanya dua juta hingga tiga juta orang sahaja yang membayar cukai.

"Bagaimana kerajaan mahu mengagihkan semula kutipan cukai itu bagi memastikan kualiti kehidupan menjadi lebih baik untuk semua orang?” 

Profesor Noor Azlan juga berkata wujud keperluan supaya kerajaan melakukan perubahan dalam beberapa dasar dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang dan kemampanan negara ketika Malaysia sedang berusaha untuk pulih daripada krisis kesihatan.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan