Skip to main content

Dunia

Pertikaian mengenai siapa berhak wakili Myanmar ke PBB

Pemerintah tentera Myanmar dan utusan yang dihantar oleh pemerintah awam yang disingkirkannya telah melancarkan tuntutan bercanggah mengenai siapa yang mewakili negara itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata para pegawai pada Selasa (2 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Pertikaian mengenai siapa berhak wakili Myanmar ke PBB

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Mar 2021 05:29PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 05:31PM

PBB: Pemerintah tentera Myanmar dan utusan yang dihantar oleh pemerintah awam yang disingkirkannya telah melancarkan tuntutan bercanggah mengenai siapa yang mewakili negara itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata para pegawai pada Selasa (2 Mac).

Duta Besar Kyaw Moe Tun berpaling daripada junta semasa Perhimpunan Agung pada Jumaat dalam satu rayuan meminta bantuan untuk mengembalikan kuasa kepada pemimpin awam Aung San Suu Kyi yang disingkirkan.

Keesokan harinya pemerintah tentera mengumumkan utusan itu dipecat, tetapi pada Isnin Kyaw Moe Tun mengirim surat kepada presiden Perhimpunan Agung PBB untuk mengatakan bahawa beliau masih memegang jawatan itu.

"Pelaku rampasan kuasa yang tidak sah ... tidak memiliki hak untuk mengetepikan kuasa sah presiden negara saya," kata surat yang diperoleh AFP, yang merujuk kepada Cik Aung San Suu Kyi.

"Oleh itu saya ingin mengesahkan kepada anda bahawa saya tetap wakil tetap Myanmar ke PBB," tambahnya.

Pada Selasa, kementerian luar Myanmar mengirim nota ke PBB, yang juga dilihat oleh AFP, mendakwa Encik Kyaw Moe Tun telah dilucutkan daripada jawatannya.

"Sekarang ini, Tin Maung Naing, timbalan duta wakil tetap, telah ditugaskan sebagai wakil sementara," tambah kenyataan kementerian itu.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu taklimat media bahawa badan itu telah menerima dua surat "bercanggah" tersebut.

"Kami sedang melihat surat-surat itu, dari mana datangnya dan apa yang akan kami lakukan," katanya.

Amerika Syarikat menyokong Kyaw Moe Tun dan memuji "keberaniannya", dengan jurucakap Jabatan Negara berkata "kami faham bahawa wakil tetap itu masih kekal dalam jawatannya."

"Kami akan terus menentang rampasan kuasa tentera dan kami akan terus menyokong pemulihan pemerintah awam Burma yang dipilih secara demokratik," kata jurucakap Amerika Syarikat itu.

Jawatankuasa pentauliahan dan protokol PBB akan meneliti isu tersebut dan kemudian merujuknya kepada Perhimpunan Agung.

Sumber : AFP/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita