Skip to main content

Dunia

Pertikaian jambatan Amerika-Kanada semakin runcing setelah Rumah Putih dakwa Trump boleh pinda permit projek

Rumah Putih menyatakan Presiden Donald Trump berhak meminda permit bagi pembinaan sebuah jambatan baharu antara Kanada dengan Michigan, sekali gus melanjutkan pertikaian terkini antara Amerika Syarikat dengan jirannya di utara itu, selang beberapa jam selepas perdana menteri Kanada memberi isyarat bahawa hubungan antara kedua-dua negara itu mungkin pulih.
Anggaran Waktu Membaca:
Pertikaian jambatan Amerika-Kanada semakin runcing setelah Rumah Putih dakwa Trump boleh pinda permit projek
Jambatan Antarabangsa Gordie Howe yang menghubungkan Detroit dengan Windsor, Ontario, Kanada, yang sedang dibina di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat, pada 10 Februari 2026. (Gambar: REUTERS/Rebecca Cook)
WASHINGTON: Rumah Putih menyatakan Presiden Donald Trump berhak meminda permit bagi pembinaan sebuah jambatan baharu antara Kanada dengan Michigan, sekali gus melanjutkan pertikaian terkini antara Amerika Syarikat dengan jirannya di utara itu, selang beberapa jam selepas perdana menteri Kanada memberi isyarat bahawa hubungan antara kedua-dua negara itu mungkin pulih.

Jambatan Antarabangsa Gordie Howe, yang akan menghubungkan Ontario dengan Michigan serta menjadi nadi ekonomi penting antara kedua-dua negara, dijadual dibuka pada awal 2026.

Namun, Encik Trump kini mengancam untuk menghalang pembukaan jambatan itu, sambil menggesa Kanada supaya bersetuju dengan beberapa tuntutan yang tidak diperincikan, sedang kedua-dua negara bersiap sedia untuk merundingkan semula satu perjanjian perdagangan besar lewat tahun ini.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata pada awal Selasa (10 Feb) beliau sudah bercakap dengan Encik Trump dan menyatakan keyakinan bahawa pertikaian itu akan dapat diselesaikan.

Namun, seorang pegawai Rumah Putih kemudiannya berkata pada Selasa bahawa struktur pemilikan jambatan itu masih tidak boleh diterima oleh presiden Amerika Syarikat.

Kanada membiayai pembinaan jambatan tersebut, yang dinamakan sempena bintang hoki Detroit Red Wings kelahiran Kanada.

Pembinaan projek itu bermula pada 2018.

Pegawai berkenaan berkata semua projek infrastruktur antarabangsa memerlukan permit presiden dan Encik Trump berhak meminda permit tersebut.

Pegawai itu tidak dikenal pasti kerana tidak mempunyai kebenaran untuk bercakap secara terbuka.

“Hakikat bahawa Kanada akan mengawal apa yang melintasi Jambatan Gordie Howe dan memiliki tanah di kedua-dua belahnya tidak boleh diterima oleh presiden,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, kepada wartawan pada Selasa.

“Ia juga tidak boleh diterima bahawa sebahagian besar jambatan ini tidak akan dibina menggunakan bahan buatan Amerika.”

Pertikaian baharu mengenai jambatan itu merupakan perkembangan terkini dalam hubungan yang semakin tegang antara Amerika Syarikat dan Kanada, khususnya berkaitan dasar perdagangan.

Encik Trump juga sebelum ini secara terbuka menyuarakan idea untuk memperoleh Kanada sebagai negeri ke-51 Amerika Syarikat, yang mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Kanada.

Menyusuli perbincangannya dengan Encik Trump, Encik Carney berkata “isu ini akan diselesaikan” dan menegaskan beliau sudah memaklumkan kepada Encik Trump bahawa pemerintah Kanada dan negeri Michigan berkongsi pemilikan jambatan itu.

Pejabat Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer, turut menekankan bahawa jambatan tersebut akan dikendalikan di bawah perjanjian pemilikan bersama antara negeri itu dan Kanada, walaupun pemerintah Kanada membiayai pembinaannya.

Encik Carney turut menambah bahawa keluli dari Amerika Syarikat digunakan dalam projek tersebut, yang juga menggajikan pekerja Amerika.

Menurut Encik Carney, Encik Trump memberitahunya bahawa beliau akan meminta duta Amerika Syarikat ke Kanada, mantan Wakil Michigan Pete Hoekstra, untuk “memainkan peranan dalam melancarkan perbincangan mengenai jambatan itu”.

Encik Hoekstra tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen.

“Saya menantikan pembukaannya dan apa yang paling penting ialah perdagangan dan pelancongan rakyat Kanada dan Amerika yang merentasi jambatan itu,” kata Encik Carney.

Projek itu dirundingkan oleh mantan Gabenor Republican Michigan, Rick Snyder dan dibiayai oleh pemerintah Kanada bagi membantu mengurangkan kesesakan di Jambatan Ambassador yang sedia ada serta terowong Detroit-Windsor.

Encik Snyder menulis dalam satu artikel pendapat di The Detroit News pada Selasa bahawa Encik Trump tersilap apabila mendakwa Kanada memiliki kedua-dua bahagian jambatan Gordie Howe di Amerika Syarikat dan Kanada.

“Kanada dan negeri Michigan masing-masing memiliki 50 peratus jambatan baharu itu,” tulis Encik Snyder.

“Kanada bertindak dengan baik dan membiayai keseluruhan jambatan tersebut. Mereka akan dibayar balik menggunakan hasil faedah daripada bayaran tol. Michigan dan Amerika Syarikat memperoleh separuh pemilikan tanpa sebarang pelaburan.”

Mantan gabenor itu turut menekankan bahawa sebahagian daripada pembinaan jambatan tersebut dikecualikan daripada keperluan ‘Buy America’ bagi penggunaan keluli, kerana separuh projek itu terletak di luar Amerika Syarikat dan oleh itu undang-undang Amerika tidak seharusnya terpakai.

“Presiden Trump, saya menggalakkan anda untuk mencabar penasihat anda dan sumber maklumat bagi kenyataan anda untuk membetulkan maklumat yang telah diberikan,” tulis Encik Snyder dalam artikel tersebut.

Beliau mengakui terdapat beberapa isu perdagangan dengan Kanada, namun “menjadikan jambatan ini sebagai titik tekanan tidak kelihatan munasabah memandangkan anda memiliki alat-alat lain.”
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita