Skip to main content

Dunia

Pertikaian buruh memuncak, pekerja Starbucks luaskan mogok ke beberapa bandar di Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Pertikaian buruh memuncak, pekerja Starbucks luaskan mogok ke beberapa bandar di Amerika

Mogok di luar cawangan Starbucks di Chicago. (Gambar: Kiichiro Sato/AP)

Diterbitkan : 23 Dec 2024 06:31PM Dikemas Kini : 23 Dec 2024 06:32PM
ISTANBUL: Pekerja Starbucks di Amerika Syarikat meluaskan mogok mereka ke Boston, Dallas dan Portland di tengah-tengah pertikaian buruh yang memuncak, hanya beberapa hari sebelum Krismas, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik kesatuan sekerja syarikat itu pada Ahad (22 Dis).

Mogok yang kini memasuki hari ketiga daripada lima hari yang dirancang telah menyebabkan penutupan hampir 50 cawangan di seluruh negara, dengan lebih banyak cawangan menyertai mogok sebagai tanda solidariti, menurut kenyataan Starbucks Workers United.

Mogok itu dibuat sebagai respons terhadap rundingan yang tergendala sejak Februari.

Kesatuan sekerja mendakwa Starbucks terlibat dalam "rundingan secara tidak jujur" dan gagal menawarkan cadangan ekonomi yang serius.

Tuntutan pekerja memberi tumpuan kepada gaji, faedah dan jaminan pekerjaan yang lebih baik, khususnya apabila syarikat mengaut keuntungan sambil mengurangkan waktu kerja pekerja.

Mogok bermula Jumaat lalu di Chicago, Los Angeles dan Seattle sebelum merebak ke bandar lain termasuk Columbus, Denver dan Pittsburgh.

Sementara itu, Starbucks mempertahankan tindakannya dengan mendakwa wakil kesatuan "menamatkan sesi rundingan terlalu awal".

Bagaimanapun, kesatuan sekerja itu menegaskan syarikat berkenaan tidak mengemukakan "cadangan ekonomi yang serius".

Ketika musim cuti semakin hampir, kedua-dua pihak masih bertelagah, dan kesatuan berikrar akan meneruskan usaha mereka sehingga tuntutan dipenuhi.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita