Pertempuran sengit di Hong Kong jelang ulang tahun ke-70 China
Pertempuran sengit tercetus antara para penunjuk perasaan dengan pihak polis di Hong Kong pada Ahad (29 Sep) sedang ribuan penduduk berarak melalui bandar yang dilanda pergolakan it. Ia berlaku serentak dengan tunjuk perasaan di merata dunia yang diadakan menjelang ulang tahun ke-70 China.
(Gambar: Philip Ong/AFP)
HONG KONG: Pertempuran sengit tercetus antara para penunjuk perasaan dengan pihak polis di Hong Kong pada Ahad (29 Sep) sedang ribuan penduduk berarak melalui bandar yang dilanda pergolakan it. Ia berlaku serentak dengan tunjuk perasaan di merata dunia yang diadakan menjelang ulang tahun ke-70 China.
Sedang Beijing bersiap sedia untuk meraikan ulang tahun itu pada Selasa, pergolakan di Hong Kong pula memuncak dengan kemarahan orang ramai terhadap apa yang dilihat sebagai tindakan untuk menghakis kebebasan di bawah pentadbiran Beijing.
Pertempuran pada Ahad adalah antara yang paling sengit sejak beberapa minggu lalu. Pihak polis menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan jet air selama berjam-jam di beberapa lokasi untuk meleraikan para penunjuk perasaan tegar yang membaling batu dan bom petrol.
Menggunakan forum-forum online dan media sosial, para penunjuk perasaan menggesa agar bantahan "anti-totalitarian" diadakan di merata dunia. Perarakan diadakan di Australia dan Taiwan, dengan sekitar 40 lokasi lain di merata Eropah dan Amerika Utara.
Di daerah Wanchai, Hong Kong, seorang wartawan AFP menyaksikan sekumpulan lelaki bertopeng membelasah penunjuk perasaan bertubi-tubi menggunakan belantan.
Namun, tidak jelas sama ada sekumpulan lelaki itu adalah pegawai polis yang menyamar sebagai penunjuk perasaan - satu taktik yang semakin kerap digunakan sejak kebelakangan ini.
Seorang wartawan dirawat oleh para anggota paramedik relawan setelah mukanya terkena kesan tindak balas polis, sementara sekurang-kurangnya dua lelaki dilaporkan diserang oleh penunjuk perasaan dan sebuah teksi pula dimusnahkan.
Pihak hospital pada lewat Ahad menyatakan 13 orang dimasukkan ke hospital, dengan seorang daripada mereka dalam keadaan serius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.