Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pertempuran meletus di Sudan, 27 maut

Anggaran Waktu Membaca:

KHARTOUM: Pertempuran meletus di antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di ibu kota Khartoum, pada Sabtu (15 Apr).

Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh, manakala 183 lagi cedera, menurut sebuah kumpulan doktor dalam apa yang dilihat sebagai satu percubaan rampasan kuasa  menjelang pilihan raya selepas rampasan kuasa tentera.

Kesatuan Doktor Sudan, berkata pihaknya tidak pasti sama ada mangsa dalam pertempuran antara tentera dan RSF itu membabitkan orang awam atau sebaliknya.

Sudan tidak mempunyai pemerintah yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat pemerintah peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.

Disember lalu, tentera dan kuasa politik Sudan menandatangani perjanjian rangka kerja untuk menyelesaikan krisis selama berbulan-bulan itu.

Perjanjian akhir itu dijadualkan berlangsung pada 6 April, tetapi ditangguhkan.

Tiada tarikh baru diumumkan untuk menandatangani perjanjian itu.

Tempoh pemerintah peralihan yang bermula pada Ogos 2019 dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024.

Pertikaian di antara kedua-dua pihak meletus pada Khamis (13 Apr) selepas pihak tentera mendakwa aktiviti RSF menyalahi undang-undang.

RSF menuduh tentera menyerang pasukannya di selatan Khartoum dan menyifatkan tindakan itu sebagai serangan kejam.

Ia juga mendakwa tenteranya sudah menguasai lapangan terbang Khartoum, istana presiden, kediaman ketua tentera dan markas tentera Merowe di utara Sudan, namun dinafikan pasukan tentera.

Angkatan Tentera Sudan menasihati orang ramai supaya kekal berada di rumah ketika tinjauan udara bagi mengenal pasti aktiviti RSF dijalankan.

Cuti juga diisytiharkan di Khartoum pada Ahad, sekali gus menyaksikan sekolah, bank dan pejabat pemerintah ditutup.

Bunyi tembakan dan letupan didengari di seluruh ibu kota dengan rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap di beberapa daerah, manakala video di media sosial merakamkan jet tentera terbang rendah.

Bercakap kepada TV Al Jazeera, Panglima Tentera Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan memberi amaran supaya RSF berundur.

"Mereka (RSF) diminta supaya berundur di Khartoum sekiranya bijak. Kami akan mengerahkan tentera dari kawasan lain ke Khartoum jika keadaan ini berterusan.

"Kami tahu lokasi persembunyian kamu dan akan ke sana untuk membawa dan mendakwa ke mahkamah atau bakal mati sama," katanya.

Angkatan tentera menerusi catatan di Facebook, berkata pihaknya tidak akan berunding dengan RSF kecuali pasukan separa tentera dibubarkan.

Konfrontasi berterusan antara RSF dan tentera boleh mengakibatkan konflik di Sudan semakin meluas kerana bergelut dengan keruntuhan ekonomi dan keganasan suku kaum, selain mampu menggagalkan usaha ke arah pilihan raya.

Sumber : AGENCIES/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan