Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pertempuran di Myanmar, lebih 5,000 penduduk lari ke Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
Pertempuran di Myanmar, lebih 5,000 penduduk lari ke Thailand

Kenderaan terbakar di bandar Hpruso di wilayah Kayah, Myanmar. (Gambar: KNDF/AFP)

Diterbitkan : 28 Dec 2021 08:11AM Dikemas Kini : 28 Dec 2021 08:12AM

BANGKOK: Pertempuran sengit di wilayah Kayah, Myanmar yang dilanda konflik memaksa lebih dari 5,000 orang melarikan diri ke Mae Sot, sebuah bandar sempadan Thailand kira-kira 15 kilometer dari tempat serangan udara dilaporkan berlaku pada petang Khamis lalu (23 Dis).

Bangkok Post menukil gabenor wilayah Tak, Somchai Kitcharoenrungroj berkata bahawa 5,358 penduduk kampung dari Myanmar sudah menyeberangi Sungai Moei untuk mendapatkan perlindungan di negara Thai.

“Pegawai keselamatan turut memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang berlindung di daerah Mae Sot dan Phop Phra, mereka yang tercedera sedang menerima rawatan,” katanya.

Berikutan pertempuran di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar, pihak penguatkuasa Thailand juga meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di sepanjang sempadan.

Selain itu, pihak pentadbiran wilayah Tak turut memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhkan diri dari sempadan kerana terdapat laporan peluru sesat dan bom tangan dari seberang sempadan di daerah Mae Sot dan Phop Phra.

Sebelum kejadian pelarian, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Martin Griffiths pada Ahad berkata beliau "ngeri" dengan laporan mengenai serangan ke atas orang awam di Myanmar yang mengakibatkan 35 orang terbunuh.

Griffiths merujuk kepada insiden yang dilaporkan berlaku pada Jumaat (24 Dis) di timur negeri Kayah.

Sementara itu, The Border Consortium (TBC), sekumpulan NGO antarabangsa yang menyediakan makanan, tempat tinggal dan bentuk sokongan lain kepada pelarian di kem di barat Thailand, menyeru kerajaan Thai untuk melindungi dan membantu beribu-ribu orang yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

“Ia sepatutnya berhenti menghalang orang yang mencari perlindungan di Thailand atau cuba menyeberangi sempadan kerana nyawa mereka terancam. Pertempuran, tembakan dan serangan udara berterusan berlaku di negeri Kayin, termasuk di kawasan orang ramai melarikan diri. Sebarang penghantaran pulang mestilah benar-benar secara sukarela, berdasarkan persetujuan dan dilaksanakan dengan selamat dan bermaruah.

“Kami juga menggesa kerajaan Thailand agar tidak menghantar kembali pelarian ke Myanmar disebabkan pandemik COVID-19… cuba membendung virus itu bukanlah alasan untuk menghantar mereka kembali kepada situasi yang tidak selamat dan berbahaya,” menurut TBC dalam satu kenyataan.

TBC menggesa kerajaan Thailand mewujudkan prosedur pemeriksaan yang jelas dan sistematik di sepanjang kawasan sempadan, yang diselaraskan dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk membenarkan pelarian mendapatkan suaka.

Selain itu, ia juga menggesa kerajaan Thailand membenarkan UNHCR dan organisasi kemanusiaan menyaring secara bebas ketibaan dari Myanmar untuk mengenal pasti dan menyokong kumpulan yang paling terancam termasuk kanak-kanak yang terpisah dan tidak ditemani keluarga, wanita hamil, warga emas dan orang kurang upaya.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan