Skip to main content

Dunia

Pertanyaan pakej umrah naik 50% susuli kelonggaran sekatan COVID-19 Arab Saudi

Pertanyaan mengenai pakej umrah meningkat 50 peratus sejak kelonggaran pada sekatan-sekatan COVID-19 di Arab Saudi diumumkan beberapa hari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertanyaan mengenai pakej umrah meningkat 50 peratus sejak kelonggaran pada sekatan-sekatan COVID-19 di Arab Saudi diumumkan beberapa hari lalu.

Namun ejen-ejen pelancongan Islam yang dihubungi memberitahu BERITAmediacorp mereka tidak merancang untuk menambah kapasiti rombongan buat masa ini.

Berita tiada lagi had umrah serta kelonggaran sekatan-sekatan COVID-19 lain yang diumumkan kerajaan Arab Saudi beberapa hari lalu sangat dialu-alukan.

Syarikat Shahidah Travel & Tours menyatakan jumlah pertanyaan tentang pakej umrah yang diterimanya setakat ini melonjak 50 peratus.

"Banyak yang tunjukkan kemahuan hendak berangkat. Mereka selalu gerak tiga generasi. Setakat ini kita tidak syorkan dulu. Kanak-kanak pun hendak ambil visa umrah tidak boleh. Dihadkan 18 tahun dan ke atas.

"Kita semak semua Jemaah. Jemaah yang masih ada penyakit kritikal, ada penyakit kronik, kami syorkan sabar dulu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Shahidah, Ayoob Angullia.

Syarikat Noah Travel & Tours turut menerima jumlah pertanyaan serupa.

Bagaimanapun, pemiliknya Hamdan Zakaria akan memberi keutamaan kepada jemaahnya yang terkandas tahun lalu.

"Saya masih ada tanggungjawab ke atas 305 jemaah yang masih mahu mengerjakan ibadah umrah. Niat kami yang pertama dan utama adalah untuk memberangkatkan jemaah-jemaah ini," kata pemilik Noah Travel & Tours Hamdan Zakaria.

Cik Mogina yang berusia 68 tahun dan suaminya dalam kalangan 34 jemaah yang akan berangkat pada 4 November nanti.

"Anak saya kurang setuju dengan keadaan pandemik ini. Setakat ini saya punya kesihatan memang baik," kata Cik Mogina.

Satu rombongan dari Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) ke Saudi pada Sabtu ini (23 Okt) untuk meninjau protokol kesihatan agar jemaah Singapura dapat mengerjakan umrah COVID dengan selamat.

Haji Ayoob berkata pihaknya akan mengkaji saranan kumpulan kerja itu sebelum menambah bilangan jemaah.

"Kita tidak mahu ambil sebarang risiko. Kita hendak lihat apabila mereka pulang pun tidak jadikan satu keadaan yang akan menyebabkan risiko pada orang-orang yang ada di Singapura," kata Encik Ayoob.

Kumpulan pertama jemaah umrahnya seramai 25 orang dijadualkan berangkat pada 4 dan 25 November nanti.

Ia merancang menambah jumlah keberangkatan pada Disember sekiranya keadaan bertambah stabil. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita