Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pertandingan jawatan Naib Presiden UMNO dan ke bawah wujud persaingan sihat , kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
Pertandingan jawatan Naib Presiden UMNO dan ke bawah wujud persaingan sihat , kata Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri M'sia Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 12 Feb 2023 05:46PM Dikemas Kini : 12 Feb 2023 05:47PM
KUALA LUMPUR: Pertandingan bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO serta jawatan ke bawah pada pemilihan parti mewujudkan persaingan sihat, kata Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun terdapat dakwaan pertandingan jawatan akan membuka ruang kepada wujudnya kem-kem calon, pemilihan yang dibuat di peringkat akar umbi adalah lebih penting.

“...dengan penawaran diri (calon) bagi jawatan Naib Presiden dan ke bawah ini adalah persaingan sihat dan saya rasakan yang penting adalah bukan pemilihan yang dibuat melalui kumpulan ‘sepapan’ (kem).

“Tetapi yang lebih penting, pada hemat saya pemilihan dibuat di peringkat bahagian dan cawangan-cawangan akan memilih individu daripada kalangan calon terbaik pada 18 Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Hala Tuju Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Ahad (12 Feb).
Encik Ahmad Zahid mengulas mengenai khabar angin kononnya pertandingan jawatan Naib Presiden akan mewujudkan kem-kem calon pada pemilihan parti.

Pada 28 Januari lalu, UMNO memutuskan bahawa pemilihan parti itu bermula 1 Februari melibatkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri cawangan yang berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari.

Sementara mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Saingan merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO dijangka sengit, dengan seorang penyandangnya, Mohamed Khaled Nordin mengesahkan mempertahankan jawatan itu sementara mantan Menteri Besar Johor Hasni Mohamad turut mengumumkan bertanding jawatan tersebut.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan