Personaliti YouTube di Sepanyol dipenjara beri Oreo disapu ubat gigi kepada gelandangan
Seorang personaliti YouTube dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan didenda AS$22,500 (S$31,000) pada Jumaat (31 Mei) kerana memuat naik satu video online menunjukkan dia menipu seorang lelaki gelandangan untuk memakan biskut yang disapu dengan ubat gigi.
Kanghua Ren dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan didenda AS$22,500 (S$31,000). (Gambar: YouTube/ReSet)
BARCELONA: Seorang personaliti YouTube dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan didenda AS$22,500 (S$31,000) pada Jumaat (31 Mei) kerana memuat naik satu video online menunjukkan dia menipu seorang lelaki gelandangan untuk memakan biskut yang disapu dengan ubat gigi.
Kanghua Ren, juga dikenali sebagai ReSet didapati bersalah atas kesalahan melanggar integriti moral setelah rakaman gurauannya menjadi tular dan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Bagaimanapun, besar kemungkinan Ren tidak akan menjalani hukuman penjara kerana umumnya hukuman penjara sehingga dua tahun digantung di Sepanyol bagi para pesalah kali pertama yang melakukan jenayah-jenayah tidak ganas.
Ren juga diperintahkan untuk menutup saluran-saluran YouTube akaunnya selama lima tahun tetapi sehingga Selasa, kedua-dua saluran YouTube yang dimilikinya, yang masing-masing mempunyai lebih 1.2 juta dan 260,000 pengikut, masih berada dalam talian.
Ren melakukan gurauan itu pada 2017 setelah dia "dicabar" oleh salah seorang pengikutnya untuk menggantikan krim biskut Oreo dengan ubat gigi.
Personaliti YouTube yang berusia 19 tahun pada ketika itu, kemudian merakam dirinya mengeluarkan krim daripada Oreo dan menggantikannya dengan ubat gigi.
Dia kemudian memberikan biskut-biskut itu kepada seorang pengemis warga Romania bersama wang €20 (S$30.80) di Barcelona.
Lelaki gelandangan itu kemudian menjadi tidak sihat dan muntah beberapa kali tidak lama selepas memakan biskut-biskut itu, dan berkata bahawa dia berasa takut kerana tidak tahu apa yang di dalam biskut itu atau siapa Ren itu, menurut laporan Daily Mail.
Lelaki gelandangan itu kemudian memberitahu akhbar Sepanyol El Pais bahawa beliau "tidak pernah dihina seperti itu ketika hidup di tepi jalan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.