Skip to main content

Dunia

Persidangan Halal Dunia & Ekspo Halal dibuka di Istanbul

Persidangan Halal Dunia dan Ekspo Halal dibuka pada Rabu (26 Nov) di Istanbul, menghimpunkan peserta sektor global di bawah tema “Memperkukuh Industri Halal melalui Inovasi dan Kecemerlangan,” lapor Anadolu Ajansi.
Anggaran Waktu Membaca:
Persidangan Halal Dunia & Ekspo Halal dibuka di Istanbul
Persidangan Halal Dunia & Ekspo Halal dibuka di Istanbul. (Gambar: Anadolu Ajansi)
ISTANBUL: Persidangan Halal Dunia dan Ekspo Halal dibuka pada Rabu (26 Nov) di Istanbul, menghimpunkan peserta sektor global di bawah tema “Memperkukuh Industri Halal melalui Inovasi dan Kecemerlangan,” lapor Anadolu Ajansi.

Edisi ke-11 persidangan dan ekspo itu, yang berlangsung dari 26-29 November, dianjurkan di bawah naungan presiden Turki dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kementerian Perdagangan Turki, Agensi Akreditasi Halal dan lain-lain.

Anadolu Ajansi bertindak sebagai rakan komunikasi global bagi acara itu.

Program itu menampilkan pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana memasuki pasaran global, mempromosi produk dan mengembangkan rangkaian eksport.

Pihak penganjur berkata sesi pertemuan itu membantu mempercepat proses penjenamaan dan menyokong peluasan eksport secara lebih meluas.

Forum perniagaan negara turut dijangka berperanan penting dalam meningkatkan pelaburan langsung asing dengan membolehkan pelabur antarabangsa mengenali potensi pelaburan sesebuah negara melalui pembentangan dan kisah kejayaan.

Naib Presiden Majlis Persidangan Halal Dunia, Emre Ete pada majlis pembukaan berkata konsep halal membentuk asas yang melindungi keadilan, kepercayaan dan maruah manusia.

Beliau berkata pendekatan halal memastikan mutu dalam pengeluaran, kejujuran dalam perdagangan, kepercayaan dalam hubungan sosial dan keadilan dalam hubungan antarabangsa.

“Halal menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tetapi juga pelbagai kumpulan pengguna yang memilih produk bersih, boleh dipercayai dan beretika,” katanya sambil berkata pasaran halal global, termasuk sektor kewangan, kini berkembang melebihi AS$8 trilion (S$10.3 trilion).

PEMBANGUNAN MAMPAN

Ketua Pengarah Pusat Islam bagi Pembangunan Perdagangan (ICDT), Latifa El Bouabdellaoui, berkata dalam satu mesej bahawa kerjasama dan integrasi antara negara Islam dalam sektor halal menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta menyediakan peluang pelaburan dan inovasi yang besar.

Beliau berkata Institut Piawaian dan Metrologi bagi Negara Islam (SMIIC), yang dipandu oleh al-Quran, membuat kemajuan ketara dengan negara anggota bekerjasama menyatukan rangka kerja teknikal bagi produk dan perkhidmatan halal. Usaha ini termasuk mengeluarkan spesifikasi piawaian dan mewujudkan sistem penilaian pematuhan.

“Kami berharap dapat terus mentakrifkan sasaran pembangunan mampan dan membina sistem halal global yang mampu bersaing dan berkembang dalam pasaran antarabangsa,” katanya.

TIGA TUNGGAK HALAL

Gabenor SMIIC, Saad Al-Kasabi berkata permintaan global yang meningkat mendorong penyatuan lebih besar dalam piawaian dan pensijilan halal.

Beliau berkata sektor itu memainkan peranan semakin penting dalam perdagangan global serta menawarkan peluang kukuh untuk pertumbuhan dalam industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik.

Beliau menghuraikan tiga tunggak asas ekosistem halal.

Tunggak pertama ialah penyatuan pensijilan dan jaminan piawaian yang tepat — langkah yang katanya meningkatkan kecekapan, mengurangkan pertindanan dan memberi gambaran lebih jelas kepada kerajaan, pengeluar dan pelabur mengenai dinamik pasaran.

Tunggak kedua ialah platform digital untuk permohonan, pengesahan dan pembangunan kemahiran, yang menghubungkan profesional muda dan kilang di seluruh dunia.

Tunggak ketiga ialah penggunaan teknologi industri moden dan penjejakan produk dalam rantaian pengeluaran bagi meningkatkan pengelasan, memperbaiki ketepatan pensijilan dan menaikkan mutu keseluruhan.

Beliau berkata pengguna mencari produk halal yang memenuhi piawaian boleh dipercayai, pelabur mencari peluang baharu dan setiap entiti yang mengukuhkan penyelarasan peraturan meningkatkan keupayaannya untuk mencipta nilai.

“Ini boleh membentuk semula masa depan halal di peringkat global,” katanya.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita