Persidangan DUN Melaka kecoh isu pelantikan Speaker
Babak awal persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini (11 Mei) kecoh berikutan desakan anggota Perikatan Nasional (PN) diketuai Encik Idris Haron (BN-Sungai Udang) supaya Speaker DUN Melaka, Encik Omar Jaafar, digantikan dengan anggota PN.
(Gambar: Bernama)
MELAKA: Babak awal persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini (11 Mei) kecoh berikutan desakan anggota Perikatan Nasional (PN) diketuai Encik Idris Haron (BN-Sungai Udang) supaya Speaker DUN Melaka, Encik Omar Jaafar, digantikan dengan anggota PN.
Persidangan sehari yang bermula jam 9.30 pagi itu menjadi kecoh kerana pertikaman lidah dan cabar mencabar antara wakil rakyat PN dan Pakatan Harapan (PH).
Encik Omar cuba menenangkan keadaan dengan menerangkan bahawa dirinya masih Speaker DUN Melaka berdasarkan prinsip 'de facto', namun Encik Idris berterusan mempersoal kedudukan Encik Omar dan bertindak membaling buku peraturan dewan ke arah tempat duduk Speaker DUN Melaka itu.
Ini menyebabkan Encik Omar bertindak menangguhkan persidangan itu ke suatu tarikh yang akan diberitahu kemudian pada jam 10 pagi dan bertindak keluar daripada dewan persidangan diikuti 11 ADUN PH.
Bagaimanapun, drama itu tidak berakhir di situ. Pada jam 10.45 pagi petugas BERNAMA dan RTM yang dibenarkan membuat liputan sidang DUN dikejutkan dengan panggilan untuk masuk semula ke dewan bagi liputan persidangan dengan kehadiran 16 daripada 28 ADUN, kesemuanya penyokong kerajaan.
Encik Idris, bekas Ketua Menteri, yang dilihat meninggalkan dewan selepas Encik Omar tidak hadir dalam sesi persidangan itu, menyebabkan hanya tinggal 16 ADUN kerajaan.
Encik Ghazale Muhamad (BN-Rim) mempengerusikan sidang itu yang bertindak melantik Pengerusi BN Melaka, Encik Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker DUN Melaka Ke-14 dan Ghazale sendiri sebagai Timbalan Speaker DUN.
Encik AB Rauf dicadangkan oleh Ketua Menteri, Encik Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) dan disokong oleh Encik Abdul Ghafaar Atan (BN-Asahan) sementara Ghazale dicadangkan oleh Encik Latipah Omar (BN-Taboh Naning) disokong Encik Roslan Ahmad (BN-Merlimau)
Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar persidangan, Encik Sulaiman mendakwa pelantikan Encik Ab Rauf itu adalah sah di sisi undang-undang berdasarkan peruntukan di bawah Perlembagaan Negeri Melaka.
Beliau berkata berdasarkan peruntukan itu, cadangan usul untuk menangguhkan dewan perlu dibawa ke persidangan itu sebelum Speaker DUN Melaka boleh bertindak menangguhkan dewan, namun ia tidak berlaku.
“Walaupun di peringkat awal tadi ada sedikit kekecohan tetapi apabila kita merujuk di bawah peraturan-peraturan persidangan, membolehkan untuk kita terus bermesyuarat kerana tidak ada usul untuk menangguhkan dewan dan beliau (Omar) terus meninggalkan dewan bermakna Speaker tidak hadir.
"Apabila berlaku peralihan kerajaan pada dasarnya mesti dan pasti akan ada pertukaran Speaker DUN begitu juga dengan Timbalan Speaker DUN dan ia sememangnya berlaku di mana-mana negeri,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.