Skip to main content

Dunia

Persidangan berkaitan ASEAN dianjur dengan baik: PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berkata negaranya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini berjaya mengurus serta menyusun semua persidangan atau mesyuarat berkaitan yang diadakan setakat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Persidangan berkaitan ASEAN dianjur dengan baik: PM Anwar

Encik Anwar Ibrahim bercakap dengan pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Syakirin Gombak, pada 11 April 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Apr 2025 05:58PM Dikemas Kini : 11 Apr 2025 06:02PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berkata negaranya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini berjaya mengurus serta menyusun semua persidangan atau mesyuarat berkaitan yang diadakan setakat ini.

Encik Anwar berkata dua mesyuarat terkini yang dianjurkan, berjaya menghasilkan pendekatan secara bersama dalam kalangan negara-negara ASEAN, termasuk dalam menghadapi isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.

“Kita ada dua sesi minggu ini, pertama dengan Menteri Perdagangan dan Pelaburan (ASEAN) yang memutuskan (untuk) bersama menghadapi tarif, Alhamdulillah nampak konsensusnya, kita tidak setuju dengan tarif yang dikenakan. Sekarang reda sekejap. Tetapi kita ambil pendekatan bersama.

“Kemudian, semalam dengan Menteri-Menteri Kewangan ASEAN, semua hadir dan memberi pandangan sama, ini satu kemajuan yang baik. Setakat kita menguruskan dua persidangan iaitu Menteri-Menteri Perdagangan dan Pelaburan serta Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN, nampak penyusunannya baik,” kata beliau.

Encik Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Syakirin, pada Jumaat (11 Apr).

Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 berakhir pada Khamis, dalam usaha mengukuhkan integrasi dan kerjasama kewangan di rantau Asia Tenggara.

Mesyuarat tersebut membincangkan perkembangan ekonomi utama, mengkaji semula kemajuan kewangan dan kerjasama bank pusat, dan mengesahkan komitmen bersama negara anggota untuk memupuk masa depan ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Dalam perkembangan lain, Encik Anwar turut melahirkan harapan Lawatan Negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, pada minggu hadapan, akan berjalan dengan lancar.

Encik Xi dijadual mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia selama tiga hari bermula 15 April, sebagai sebahagian daripada siri lawatannya ke rantau ini.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita