Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perseketuan Majikan M'sia gesa kerajaan benarkan perniagaan dalam negeri dibuka meski sempadan masih ditutup

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan supaya membenarkan perniagaan di negeri-negeri menyambung semula operasi masing-masing dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), sedang sekatan perjalanan antara negeri dikekalkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perseketuan Majikan M'sia gesa kerajaan benarkan perniagaan dalam negeri dibuka meski sempadan masih ditutup

Beberapa penduduk Malaysia berjalan-jalan di kawasan pusat beli-belah. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 08 Aug 2021 02:29PM Dikemas Kini : 08 Aug 2021 02:34PM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan supaya membenarkan perniagaan di negeri-negeri menyambung semula operasi masing-masing dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), sedang sekatan perjalanan antara negeri dikekalkan.

Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman menggesa pihak berkuasa supaya membuka semula semua sektor ekonomi dalam lingkungan sempadan negeri, memandangkan tindakan itu akan membolehkan perniagaan dan ekonomi beransur pulih serta merancakkan semula pasaran pekerjaan.

“Kami tidak boleh tunggu untuk beralih ke Fasa Dua atau Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara berdasarkan jumlah kes COVID-19 harian kerana semakin banyak saringan dilakukan, keputusan positif juga akan meningkat. Itulah kebiasaannya, kerana ia telah menjadi endemik dalam masyarakat dan kita perlu menerima ini sebagai realiti.

“Justeru, kami menggesa pihak berkuasa supaya membenarkan semua sektor yang tidak penting dibuka, termasuk sukan, kedai gunting rambut dan salun, tetapi tidak termasuk industri hiburan malam. Selain itu individu yang telah menerima dua dos vaksin perlu dibenarkan makan di kedai atau restoran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (8 Ogos).

Beliau menambah MEF menyokong ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya kelonggaran pergerakan tidak dilakukan secara terburu-buru atau terlalu awal tanpa mempertimbangkan kebimbangan mengenai varian Delta COVID-19 yang kini merupakan paling dominan di Malaysia.

Dr Syed Hussain berkata maka itu, MEF telah menasihati para majikan supaya lebih berwaspada dalam melindungi pekerja mereka, termasuk yang telah menerima dua dos vaksin COVID-19.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah dijalankan dengan baik untuk mendorong masyarakat menerima suntikan vaksin namun tidak bermakna mereka yang telah divaksinkan tidak akan dijangkiti.

“Kami juga bimbang mengenai varian lain seperti Alpha, kemungkinan Zeta, Delta Plus, Lambda serta varian lain yang tidak diketahui yang telah dikesan di negara lain di dunia,” katanya.

Selain itu, beliau berkata perjalanan dalam negeri tidak sepatutnya disekat, kecuali untuk zon merah, manakala perintah sekatan perjalanan antara negeri pula sewajarnya menjadi perkara terakhir yang dibatalkan.

Walaupun semua sektor yang tidak penting dibuka, kerajaan boleh mengasingkan penularan jangkitan dengan meneliti coraknya, katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu membuka ekonomi untuk kehidupan kembali normal dan pada masa yang sama menyokong pendirian KKM dalam usaha menjaga kesihatan pekerja, termasuk yang telah diberikan vaksin.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan