Skip to main content

Dunia

Persatuan Rohingya M'sia nasihat tahanan masih bebas agar serah diri

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Rohingya M'sia nasihat tahanan masih bebas agar serah diri

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 23 Apr 2022 08:10AM Dikemas Kini : 23 Apr 2022 08:11AM

GEORGE TOWN: Persatuan Rohingya di Malaysia (RSM) menasihatkan baki tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada Rabu lepas supaya segera menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Wakil RSM yang enggan namanya dikenali berkata jika masih bebas, mereka akan terus berada di bawah pengawasan pihak berkuasa.

“Mereka perlu pergi ke balai polis berdekatan atau meminta tolong daripada sesiapa sahaja supaya menghantar mereka semula ke depot. Mereka perlu menyerah diri kerana mereka bukan penjenayah.

“Jika mereka benar-benar pelarian Rohingya, mereka tidak boleh lari ke negara lain dan mustahil bagi mereka untuk sentiasa dalam pelarian,” katanya.

Menurut Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad, operasi menjejaki 96 tahanan Rohingya diteruskan semalam (22 Apr) dan setakat pukul 6.00 pagi semalam, 76 lelaki, sembilan wanita, tujuh gadis dan empat kanak-kanak lelaki masih bebas.

Jurucakap RSM berkata kemungkinan tahanan yang masih bebas itu takut untuk kembali ke depot.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata pelarian Rohingya berdepan banyak ungkapan kebencian dan prasangka kerana sering dikaitkan dengan insiden seperti ‘Long Tiger’ selain isu membabitkan aktivis Rohingya Zafar Ahmad Abdul Ghani pada April 2020.

Pada awal pandemik COVID-19, media sosial sudah memuat naik dakwaan palsu bahawa Zafar mahu pelarian Rohingya diberi hak sama seperti warga tempatan dari segi pendidikan dan pekerjaan, yang kemudian mencetuskan kemarahan kebanyakan rakyat Malaysia.

“Ini kenyataan yang tidak benar dan kami masih berdepan dengan ungkapan kebencian disebabkan perkara itu,” katanya.

RSM yang berpangkalan di Selangor, diasaskan pada 2010 bagi memberi sokongan kepada komuniti tersebut dari segi pendidikan, akses perkhidmatan kesihatan, sokongan psikososial selain melakukan penyelarasan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita