Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Persaingan menawan hati dan undi golongan muda Indonesia

"Mama, just killed a man," nyanyi Presiden Indonesia Joko Widodo mengikut rentak lagu Bohemian Rhapsody oleh kugiran Queen yang dimainkan sedang beliau berbual santai dengan seorang selebriti YouTube tempatan di dalam keretanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Persaingan menawan hati dan undi golongan muda Indonesia

Joko Widodo bergambar dengan para penyokongnya semasa perhimpunan kempen pertama beliau di Serang, wilayah Banten, Indonesia pada 24 Mac 2019. (Gambar: Willy Kurniawan/Reuters)

Diterbitkan : 04 Apr 2019 10:25PM Dikemas Kini : 04 Apr 2019 11:36PM

JAKARTA: "Mama, just killed a man," nyanyi Presiden Indonesia Joko Widodo mengikut rentak lagu Bohemian Rhapsody oleh kugiran Queen yang dimainkan sedang beliau berbual santai dengan seorang selebriti YouTube tempatan di dalam keretanya.

Video YouTube hampir 16 minit itu menampilkan Presiden Joko Widodo atau juga dikenali sebagai Jokowi, menyarung jaket merah berzip dan sepasang jeans sambil berborak-borak tentang kehidupan keluarga serta tekanan memimpin demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Pembikinan video itu adalah hasil idea sebuah pasukan belakang tabir dan ia menjadi sebahagian penting kempen Encik Jokowi bagi Pilihan Raya Indonesia pada 17 April ini.

Pasukan tersebut, kebanyakannya dalam lingkungan usia 20-an, mempunyai sebuah pejabat megah bertingkat tinggi di pusat bandar Jakarta.

Para pembantu Presiden Jokowi mengatakan pasukan itu menggunakan data untuk menentukan rujukan-rujukan budaya pop yang akan digunakan Encik Jokowi dalam ucapan-ucapan kempennya.

Golongan millennial, berusia antara 17 dengan 35 tahun, membentuk lebih sepertiga daripada 193 juta pengundi Indonesia. Kedua-dua Encik Jokowi dan pesaingnya, mantan jeneral tentera, Prabowo Subianto, telah menggandakan usaha untuk menarik undian mereka.

Kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan Encik Jokowi, 58 tahun, mendahului pesaingnya itu dengan kelebihan dua angka.

Satu tinjauan pendapat awam, Roy Morgan, baru-baru ini menunjukkan sekitar 60 peratus pengundi muda menyokong Encik Jokowi. Bagaimanapun, kedua-dua kempen dalam persaingan itu mengaku usaha menawan hati belia yang sebahagian besarnya tidak berminat dalam politik adalah mencabar.

SARUNG JEANS DAN KASUT SNIKER

Sedang pesaingnya sering kelihatan memakai sut dan kasut 'oxford', Encik Widodo pula tampil bersahaja menggayakan kemeja putih dengan lengannya digulung, sepasang jeans dan dipadankan bersama sepasang sniker berwarna terang.

Menurut para pengamat, Encik Prabowo kurang popular dalam kalangan pengundi muda kerana imejnya yang tegas, pembawaan daripada zaman beliau sebagai ketua pasukan khas di bawah pemerintahan kuku besi Suharto.

Rakan gandingan Encik Prabowo, usahawan dan pelari maraton amatur, Sandiaga Uno, dipilih antaranya kerana beliau disukai ramai pengundi muda dan wanita.

Populariti Encik Uno dan kempen luas yang dilakukan di seluruh negara telah membantu meningkatkan kemungkinan Encik Prabowo dipilih, kata para pembantu kempennya.

JANJI-JANJI TERDESAK

Walaubagaimanapun, ramai pengundi muda tidak menginginkan gimik kempen, sebaliknya mahu mereka memeuhi janji-janji untuk mewujudkan pekerjaan dan menangani pengangguran belia.

Kadar pengangguran di Indonesia kira-kira 5 peratus dan ia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara dengan kebanyakan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan merupakan lulusan sekolah-sekolah vokasional. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan