Skip to main content

Dunia

Persaingan 4 penjuru menanti Anwar Ibrahim bagi kerusi Parlimen Tambun PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)Anwar Ibrahim akan berdepan pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini.

Encik Anwar yang juga calon tunggal Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ketua UMNO Bahagian Tambun Aminuddin Md. Hanafiah, calon Pejuang Abdul Rahim Tahir dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi itu iaitu Encik Ahmad Faizal Azumu.

Pengumuman empat calon berkenaan dilakukan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Tambun, Mohamad Fariz Mohamad Hanip pada 10.35 pagi selepas proses penamaan calon berjalan lancar dan ditutup pada 10.00 pagi.

Encik Anwar tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.58 pagi manakala Encik Aminuddin dan Encik Ahmad Faizal masing-masing sampai pada 8.50 pagi dan 9.00 pagi, sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh Meru.

Suasana pekarangan pusat penamaan calon meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong calon bertanding sebagai tanda sokongan dengan ada yang membawa sepanduk, bersorak serta mengalunkan selawat sepanjang calon masuk ke pusat penamaan calon.

Pekarangan tersebut turut dikawal ketat oleh polis dengan memasang penghadang untuk mengelakkan berlakunya pertembungan penyokong.

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Encik Ahmad Faizal atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, menewaskan calon BN dan PAS sebanyak 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Encik Anwar ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon oleh Pegawai Pengurus SPR berkata beliau bersedia menawarkan pembaharuan demi kesejahteraan warga Tambun.

“Kami di sini untuk menawarkan alternatif kepada program ekonomi dan polisi dan ketegangan sosial antara pelbagai komuniti, dan saya rasa itu berikan kami kelebihan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Encik Ahmad Faizal berkata kempennya akan tertumpu kepada usaha menambat hati pengundi muda yang dilihat penting dalam menentukan wakil rakyat kawasan itu, terutama selepas pelaksanaan Undi18 pada PRU kali ini, biarpun mengakui mempunyai kelebihan sebagai calon tempatan.

Calon Pejuang Abdul Rahim Tahir pula berkata kempennya akan memberi penekanan membawa suara anak muda, serta menyebarkan kepentingan golongan itu menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam menentukan masa depan negara.

Dalam pada itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan PH, PN dan BN manakala DUN Ulu Kinta melibatkan empat penjuru daripada PH, PN, BN dan seorang calon Bebas.

SPR menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala pengundian awal pada 15 Nov.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita