Perpustakaan Negara Kazakhstan bakal tempatkan manuskrip kesusasteraan Melayu
Beberapa manuskrip kesusasteraan Melayu yang dihasilkan oleh dua sasterawan dari Malaysia bakal ditempatkan di Perpustakaan Negara Kazakhstan yang terletak di ibu kota Nur Sultan.
NUR SULTAN, KAZAKHSTAN: Beberapa manuskrip kesusasteraan Melayu yang dihasilkan oleh dua sasterawan dari Malaysia bakal ditempatkan di Perpustakaan Negara Kazakhstan yang terletak di ibu kota Nur Sultan.
Antara manuskrip itu ialah 'Dhikr Serenades' oleh Ahmad Khamal Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Kemala, bersama dengan ‘The Epic of Hang Tuah’ dan 'Selamat Pulang, Juita' iaitu karya Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh.
Timbalan Pengerusi Kesatuan Penulis Kazakhstan Akberen Elgezek pada Khamis (5 Sep) berkata langkah itu adalah sebahagian usaha untuk menghargai penulis dari negara-negara Asia, termasuk Malaysia, yang sudahpun menghasilkan karya mengagumkan.
"Karya yang dihasilkan penulis Malaysia memperlihatkan nilai, amalan intelektual dan budaya Melayu dalam masyarakat Malaysia.
"Karya kedua-dua penulis itu bernilai tinggi dan perlu dikaji bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga rakyat di negara Asia lain dan kami akan memastikan manuskrip Malaysia ini disimpan dengan sempurna di Seksyen Kesusasteraan Asia Tenggara," ujarnya di luar Forum Penulis Negara Asia yang julung-julung kalinya diadakan di Kazakhstan.
Sejumlah 80 peserta dari 38 negara menghadiri forum tiga hari itu yang berakhir pada Jumaat (6 Sep).
Dianjurkan Kesatuan Penulis Kazakhstan, forum tersebut diadakan untuk memperkukuh dan memperluas hubungan sastera serta budaya antara negara Asia.
Kira-kira 5,000 manuskrip daripada penulis yang menyertai forum itu juga akan ditempatkan di perpustakaan berkenaan dan pada masa depan ia bakal disediakan dalam bentuk digital.
Sementara itu, Ahmad Khamal berkata beliau gembira untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuannya dalam kesusasteraan dengan Kazakhstan terutamanya bersama para pelajar sebagai dorongan kepada mereka supaya menghasilkan lebih banyak penulisan.
"Terdapat banyak bidang dalam karya saya yang belum diterokai di sini tetapi boleh menjadi rujukan kepada pelajar yang berminat mempelajari bahasa Melayu. Apa yang penting ialah kandungan setiap naskah merupakan nilai kepada masyarakat dan negara kita," jelasnya.
Prof Muhammad, pemenang anugerah sasterawan Malaysia keenam, pula berharap inisiatif itu akan membawa kepada perkongsian bahasa dan budaya Malaysia dengan pelajar serta masyarakat setempat.
"Kita adalah sebahagian dari Asia dan kita harus belajar sastera masing-masing supaya dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.