Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perpustakaan Islam Digital Pulau Pinang kini dibuka kepada orang ramai

Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM5 juta (S$1.6 juta) bagi pembangunan Perpustakaan Islam Digital Pulau Pinang (PIDL) bermula hari ini (26 Mei).

 

Anggaran Waktu Membaca:
Perpustakaan Islam Digital Pulau Pinang kini dibuka kepada orang ramai

Perasmian Perpustakaan Islam Digital Pulau Pinang. (Gambar: Facebook/Chow Kon Yeow)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM5 juta (S$1.6 juta) bagi pembangunan Perpustakaan Islam Digital Pulau Pinang (PIDL), sebuah perpustakaan Islam secara maya berkonsep moden di negeri itu yang dibuka kepada orang ramai bermula hari ini (26 Mei).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata PIDL yang mempunyai lebih 1,500 bahan bacaan islamik secara digital akan dikendalikan sepenuhnya oleh Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) iaitu institusi pengajian tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Sebagaimana kunjungan pertama saya ke KITAB sekitar Disember lepas, hari ini saya gembira untuk kembali ke sini bagi bersama-sama menyaksikan satu lagi mercu kebanggaan kita bersama iaitu PIDL akhirnya berjaya direalisasikan dengan jayanya.

"Sama seperti Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) sedia ada, kerajaan negeri berharap kemudahan ini (PIDL) dimanfaat sepenuhnya oleh pelajar dan golongan profesional di segenap institusi serta seluruh warga Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian PIDL dan Al-Hady Centre (AHC) serta sambutan Jubli Perak KITAB oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Lembaga Pengarah KITAB Dr Roslan Ahmad.

Encik Chow berkata PIDL sebagai pusat sumber maklumat secara digital juga akan saling melengkapi fungsi dan peranan AHC sebagai sebuah entiti atau pusat tanggungjawab yang mengintergrasikan pemikiran serta ketamadunan Islam melalui aktiviti penyelidikan secara saintifik.

Sementara itu, Encik Ahmad Zakiyuddin berkata komitmen yang digerakkan oleh KITAB merupakan usaha yang seiring dengan Gagasan Khaira Ummah 2030 iaitu satu pelan pembangunan komprehensif umat Islam di Pulau Pinang yang bertujuan mempersiapkan umat Islam yang terbaik untuk Pulau Pinang menjelang 2030. 

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata gagasan Khaira Ummah 2030 juga antara lain bagi memberdayakan umat Islam di Pulau Pinang menerusi program pembangunan keilmuan, ekonomi, kekeluargaan, anak muda dan kerohanian.

"Bagi memenuhi hasrat dan agenda besar memartabatkan KITAB sebagai universiti menjelang 2030, MAINPP telah meluluskan cadangan membangunkan kampus KITAB berasaskan wakaf di atas tanah serahan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kepada MAINPP seluas tujuh hektar di Bandar Cassia, Batu Kawan dekat sini.

“Pembangunan kampus KITAB Bandar Cassia itu adalah berkonsepkan wakaf iaitu ke arah mewujudkan sebuah Universiti Islam Berasaskan Wakaf di Pulau Pinang menjelang 2030," katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan