Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perompak bersenjatakan parang larikan 52 ekor kambing

Polis menahan enam lelaki dan masih memburu dua lagi rakan mereka yang disyaki terlibat dalam kes rompakan berkumpulan serta bersenjata.

Anggaran Waktu Membaca:
Perompak bersenjatakan parang larikan 52 ekor kambing

(Gambar hiasan: AFP/GABRIEL BOUYS)

Diterbitkan : 23 Oct 2019 10:57PM Dikemas Kini : 23 Oct 2019 10:59PM

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan enam lelaki dan masih memburu dua lagi rakan mereka yang disyaki terlibat dalam kes rompakan berkumpulan serta bersenjata. Mereka juga melarikan 52 ekor kambing susu bernilai RM50,000 (S$16,278) daripada sebuah kandang di Jalan Mengkuang Keretapi, Bukit Mertajam, pada Sabtu lalu (19 Okt).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata empat lelaki berusia antara 19 hingga 61 itu ditahan secara berasingan di sekitar Butterworth dan Bukit Mertajam, dekat Bukit Mertajam, serta Padang Serai, Kedah, bermula jam 11.00 malam pada Selasa (22 Okt) hingga 8.00 pagi Rabu (23 Okt).

"Dalam kejadian pukul 1.20 pagi itu, pemilik kambing berusia 34 tahun menyedari kehilangan haiwan peliharaannya selepas dihubungi penduduk kampung manakala empat pekerja warga Myanmar yang menjaga di situ turut diikat serta dicederakan oleh suspek," kata ACP Nik Ros Azhan.

Beliau menambah maklumat yang diperolehi daripada pekerja-pekerja tersebut mengatakan sekurang-kurangnya lima lelaki lengkap bertopeng dan bersenjatakan parang memasuki ke dalam rumah pekerja yang terletak dalam kawasan kandang kambing sebelum mengarahkan semua untuk diam serta mengikat mereka.

Menurut ACP Nik Ros Azhan, suspek kemudiannya masuk ke dalam kandang dan melarikan semua kambing dengan menggunakan sebuah lori.

Beliau berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan lelaki pertama di Pantai Bersih, Butterworth, sebelum menyerbu empat tempat lain dan menahan lima lelaki yang masing-masing mempunyai peranan dalam kejadian tersebut sebagai pemilik lori, pembeli serta penjaga kambing.

"Siasatan awal mendapati mereka mencuri (mengambil) kambing tersebut dan menjual kepada seorang peniaga yang juga pembekal kambing di sebuah pasar di Kulim, Kedah, dan perancangan jenayah itu dibuat oleh lelaki yang berusia 61 tahun berkenaan yang merupakan dalang utama," terang ACP Nik Ros Azhan.

Beliau berkata peniaga kambing berusia 26 tahun yang turut ditahan menjanjikan bayaran RM15,000 hingga RM20,000 (S$4,880-S$6,510) hasil jualan setelah semua kambing yang dirompak tersebut dijual. Bahkan, dia juga memberikan wang pendahuluan sebanyak RM4,000 (S$1,300) kepada dalang utama kejadian tersebut.

ACP Nik Ros Azhan menambah siasatan juga mendapati peniaga kambing itu mula menjual kambing yang dirompak iaitu sehari selepas kejadian - pada hari Ahad (13 Okt). Sehingga Selasa (22 Okt), 42 ekor kambing sudahpun disembelih serta berjaya dijual dengan hasil jualan RM20,000 hingga RM30,000 (S$S$6,510 - S$9,760) diraih.

"Harga pasaran yang dijual peniaga itu ialah RM42 (S$13.60) sekilogram daging kambing dan susulan penahanan semua mereka, polis turut merampas 10 ekor kambing yang belum disembelih, sebuah kereta jenis Toyota Hilux, telefon bimbit serta wang tunai RM700 (S$227)," katanya.

Menurut ACP Nik Ros Azhan lagi, enam lelaki termasuk dalang utama yang mempunyai empat rekod lampau itu direman selama tujuh hari.

"Dua lagi lelaki yang identiti telah dikenal pasti itu kini diburu. Polis percaya mereka berada di sekitar Kulim dan Padang Serai," katanya.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan