Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perniagaan di M'sia harapkan kestabilan politik, ekonomi selepas PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
Perniagaan di M'sia harapkan kestabilan politik, ekonomi selepas PRU15

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

KUALA LUMPUR: Dalam perlumbaan ke Putrajaya, anggota politik di Malaysia biasnya sanggup melakukan apa sahaja untuk menambat hati pengundi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim misalnya menjual suaranya ketika berkempen di Lembah Klang dengan menyanyikan lagu gubahan penyanyi tempatan Altimet untuk mencerminkan rasa marah orang ramai terhadap amalan rasuah di negara itu.

"Oi, oi, ya oi, Siapa sokong penyamum?" dengan diiring sama penyokongnya.

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri juga tidak mahu ketinggalan ketika berucap di hadapan peniaga kecil-kecilan di Kuala Lumpur dengan berkongsi pengalamannya sebagai peniaga.

"Saya pernah menjual oren di kaki lima dan ikan di pasar,” kata Encik Ismail Sabri.

Beliau kemudian berjanji akan segera mengagihkan semua habuan dalam belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini - yang belum diluluskan kerajaan termasuk bayaran tunai sekali sahaja - kepada peniaga sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa.

"TOLONG JANGAN ADA KEKECOHAN LAGI"

Perniagaan di Malaysia bagaimanapun tidak terpengaruh dengan pelbagai taktik kempen pilihan raya. Menurut mereka, apa yang mereka inginkan adalah kestabilan politik dan ekonomi supaya keyakinan terhadap negara itu dapat dikembalikan tanpa mengira perikatan politik yang membentuk kerajaan seterusnya.

"Kami hanya inginkan kestabilan di Malaysia, tolong jangan ada kekecohan lagi," kata seorang peniaga.

Namun, ramai yang tidak ingin menaruh harapan tinggi kerana tahu bahawa negara itu berdepan dengan pelbagai cabaran seperti masalah buruh, kejatuhan nilai ringgit dan kos yang meningkat.

Banyak perniagaan masih lagi sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19 dan berharap bahawa kerajaan akan datang akan melanjutkan penangguhan bayaran hutang bagi membantu perniagaan mengharungi tempoh enam bulan hingga setahun lagi.

"Tidak dinafikan rakyat masih lagi bergelut dengan gejolak ekonomi selepas terjejas COVID-19 selama lebih dua tahun. Tempoh pulih tidak akan mengambil masa yang singkat, kesan akibatnya sangat besar," kata Encik Abdul Malik Abdullah, pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia.

Kestabilan adalah sangat penting, kata pengamat politik, Fui Soong, sambil menambah bahawa mana-mana parti yang menjanjikan kestabilan akan menjadi pilihan peniaga kecil dan syarikat besar.

KETIDAKSTABILAN DAN KONFLIK

Pun begitu, kerajaan yang stabil mungkin sukar untuk dicapai meskipun jika BN berkuasa semula dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) disebabkan konflik dalaman parti utamanya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

“Siapa pun yang menjadi perdana menteri akan menuruti kehendak Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. Bagaimana dia boleh menguruskan negara? Dengan menerima arahan daripada seseorang yang menghadapi kes di mahkamah? Pendek kata, BN tidak boleh terima,” kata pengerusi PN dan mantan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu temu bual dengan Mediacorp di kawasan undinya di Bagan Datuk, presiden UMNO Ahmad Zahid berkata beliau berazam untuk membersihkan namanya.
PENGUNDI SUDAH LELAH DENGAN KONFLIK POLITIK

Pergolakan politik di Malaysia pastinya sudah menjejas keyakinan ramai pengundi terhadap tiga perikatan utama melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
"Semua perikatan politik pernah menang sebelum ini ; BN – 62 tahun, PH – 22 bulan, PN – 17 bulan. Rakyat sangat khuatir untuk berbelanja, jadi perniagaan menderita kerana orang hilang keyakinan," kata seorang peniaga kepada Mediacorp.

Dengan lebih banyak parti berpaksikan Melayu menyertai konflik itu, ia akan menjejaskan undi Melayu bagi BN dan PN, kata penganalisis.

Ia mungkin akan memberi kelebihan kepada PH yang berbilang kaum, terutama sekali jika peratusan yang keluar mengundi tinggi.

"Dengan keadaan yang tidak pasti ini, amat sukar bagi SME (perusahaan kecil dan sederhana) untuk melabur dalam pertumbuhan," kata Encik William Ng, pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia.

"Apa yang kami inginkan adalah pilihan raya yang teratur yang akan menghasilkan mandat yang jelas oleh sesiapa sahaja yang mengambil alih kerajaan seterusnya," katanya.

Beliau menambah bahawa negara memerlukan pasukan menteri dan penggubal dasar yang kuat dan cekap untuk memimpin Malaysia "keluar daripada masalah".
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan