Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perniagaan di Johor Bahru semakin rancak, penjualan naik sehingga 40 peratus

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Perniagaan di Johor, tidak kira perniagaan makanan, khidmat cuci kereta mahupun runcit, menyaksikan kenaikan jualan menyusuli pembukaan semula sempadan Singapura-Malaysia pada Jumaat (1 Apr).

Dua tahun lamanya sempadan ditutup menjejas teruk perniagaan di negeri selatan Malaysia itu yang menyaksikan perniagaan menguncup, ada sehingga sekitar 90 peratus.

Dengan kedatangan semula rakyat Singapura ke Malaysia kini, beberapa peniaga yang BERITAmediacorp temui mengatakan perniagaan mereka sudah meningkat sehingga 50 peratus pada 24 jam pertama sempadan dibuka.

LANJUTKAN WAKTU OPERASI HINGGA 4.30 PAGI

Restoran Banafee Village misalnya yang terletak di Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru, adalah antara tempat popular yang lazim dikunjungi rakyat Singapura sebelum pandemik COVID-19.

Terkenal bagi sup tulang merah dan nasi ayam penyet, restoran dengan konsep santai itu selalunya meriah pada waktu malam.

Setakat Khamis (31 Mac), suasana di restoran itu masih tidak 'hidup' seperti waktu sebelum pandemik.

Pengurus restoran, Encik Muhd Isamuddin Rosli, 30 tahun berkata: "Sebab selalunya pada jam 2.00, perniagaan sudah mula reda. Sudah kurang orang dan mungkin hanya empat meja diisi."

Pada Jumaat (1 Apr) apabila sempadan Singapura-Malaysia dibuka, restoran itu kembali dipenuhi dengan para pelanggan dari Singapura buat pertama kalinya dalam masa sekitar dua tahun.

Encik Isa berkata: "Perasaan memang sangat teruja apabila tahu sempadan akan dibuka. Memang nampak peningkatan. Apabila sempadan dibuka, kedai kita hampir penuh sehingga 4.30 pagi."

Menurut Encik Isa, sekitar 60 peratus pelanggan di restoran Banafee Village adalah rakyat Singapura.

Secara keseluruhannya, restoran itu menyaksikan hasil jualannya melonjak sebanyak 40 peratus dan menerima lebih 1,500 pelanggan dalam masa dua hari sahaja sejak sempadan Singapura-Malaysia dibuka.

Perbezaannya amat ketara berbanding keadaan sepanjang dua tahun lalu.

"Memang sangat terjejas semasa pandemik berlaku terutama sekali apabila fasa pertama di mana restoran tidak dapat dibuka. Orang Singapura pun tidak dapat masuk. Apabila pandemik, penjualan menjunam sehingga 40 peratus," ujar Encik Isa.

Berikutan penurunan itu, Encik Isa terpaksa mengurangkan separuh jumlah pekerja di restoran berkenaan.

Encik Isa berkata: "Untuk pekerja kita dahulu ada sekitar ada 40 pekerja. Sekarang kita ada sekitar 20 pekerja sahaja."

Lantaran itu, apabila mendapat tahu bahawa sempadan Singapura-Malaysia akan dibuka, Encik Isa mengambil langkah strategik untuk membangkitkan perniagaannya.

"Kita sudah membuat penambahan meja. Sebelum ini kita boleh menampung 300 orang. Sekarang ini kita ubah suai tempat duduk dan kini boleh menampung sehingga 500 pelanggan pada satu-satu masa," kata Encik Isa.

"Kita membuat strategi untuk menambah staf. Kita cara pekerja sambilan dan tambah pekerja asing dan juga tempatan," jelas Encik Isa berkenaan langkah-langkah yang diambilnya.

Encik Isa juga berkata bahawa pada bulan Ramadan nanti, restoran Banafee Village akan menyediakan khidmat bufet untuk iftar bagi menarik lebih ramai pelanggan.

KEDAI CUCI KERETA TAWARKAN HARGA ISTIMEWA

Perniagaan khidmat cuci kereta Car Wash Banafee bersebelahan restoran Banafee Village dahulu biasanya menerima lebih 150 pelanggan setiap hari sebelum pandemik COVID-19.

Pemilik perniagaan itu, Encik Rifkee Banafee berkata: "Yang kebanyakannya sini memang kawasan yang mengharapkan pelanggan Singapura. Sebab mereka membentuk kira-kira 80 hingga 90 peratus pelanggan di sini, kalau kita cakap sebelum pandemik COVID-19."

Apabila pandemik melanda, perniagaan itu terus menjunam.

Menurut Encik Rifkee, perniagaannya antara lain kehilangan 20 pekerja yang membentuk 80 peratus daripada jumlah pekerjanya dan penjualan juga merosot lebih 90 peratus.

Mereka hanya menerima 30 pelanggan setiap hari secara purata.

Bagi mengurangkan kos operasi, kedai Car Wash Banafee juga perlu memendekkan waktu operasi kepada 12 jam sahaja berbanding sepanjang hari sebelum ini.

Mujur, apabila sempadan Singapura-Malaysia dibuka pada Jumaat (1 Apr), Encik Rifkee menyifatkannya sebagai satu sinar harapan yang baru.

Kereta Singapura pertama yang memasuki kedainya pada jam 1.00 tengah malam pada Jumaat (1 Apr), ibarat titik permulaan untuk perniagaannya kembali rancak.

Perniagaan khidmat cuci kereta itu yang sering sudah 'lemau' sekitar jam 2.00 tengah malam, nampak jauh berlainan.

"Jadi nampaknya semalam sahaja, orang ramai sudah mula masuk, naik kira-kira 30 hingga 40 peratus. Jadi sejauh ini kita rasa sudah bermula perniagaan akan naik," jelas Encik Rifkee.

"Biasanya saya dapat 30 hingga 40 kereta sahaja semasa pandemik dan sekarang sudah naik, sudah menjadi lebih 80 kereta. Sudah ada 50 buah kereta tambahan yang sudah masuk," tambahnya lagi.

Encik Rifkee juga berkata bahawa ada juga rombongan 'abang-abang motor' yang pergi ke kedainya pada sekitar jam 4.00 pagi, sesuatu yang sudah tidak dilihat sejak lebih dua tahun lalu.

Menurut Encik Rifkee, beliau terpaksa melanjutkan waktu operasi sehingga 6.00 pagi, kerana pelanggan Singapura yang datang bertubi-tubi ke kedainya sepanjang malam.

Kerancakan perniagaan memang sudah dijangka Encik Rifkee.

Sebab itulah, beliau memutuskan untuk menambah bilangan pekerjanya untuk menangani jumlah pelanggan yang ramai.

"Saya terpaksa tambah sehingga 6 orang lagi dan juga untuk melanjutkan waktu operasi di kedai," jelas Encik Rifkee.

Untuk menarik lebih pelanggan juga, Encik Rifkee mengadakan tawaran istimewa bagi pakej cuci kereta di kedainya.

Encik Rifkee berkata: "Saya perlu buang 40 hingga 50 peratus harga-harga khidmat di sini untuk rancakkan lagi perniagaan."

Pakej yang termasuk mencuci, menggilap dan menyembur wangian dalam kereta yang dahulunya berharga RM80, kini dikurangkan kepada RM40.

Memandang ke hadapan, beliau menjangkakan perniagaannya akan meningkat sehingga 50 peratus pada bulan ini, lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Ramadan.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan