Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permohonan penganut Hindu, jawatankuasa kuil jadi pihak berkepentingan dalam siasatan kematian Adib ditolak

50 penganut agama Hindu dan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield gagal menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan penganut Hindu, jawatankuasa kuil jadi pihak berkepentingan dalam siasatan kematian Adib ditolak

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Feb 2019 10:07AM Dikemas Kini : 01 Feb 2019 10:10AM

SHAH ALAM: 50 penganut agama Hindu dan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield gagal menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ini setelah Mahkamah Koroner pada Khamis (31 Jan) menolak permohonan kedua-dua pihak itu yang diwakili peguam M. Visvanathan dan Siti Zabedah Kassim.

Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai koroner ketika membuat keputusan itu berkata kedua-dua pihak berkenaan tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah.

"Mahkamah tidak boleh keluar daripada sempadan dan perimeter prosiding inkues ini mengikut Seksyen 337 Kanun Prosedur Jenayah iaitu, mengetahui bila Muhammad Adib meninggal dunia, di mana beliau meninggal dunia, bagaimana beliau meninggal dunia, dalam apa cara beliau meninggal dunia.

"Berdasarkan perkara ini, identiti dan peranan kedua-dua pihak ini tersasar daripada terma rujukan prosiding inkues ini. Kedua-dua pihak ini tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah untuk mahkamah benarkan mereka mengambil bahagian dalam prosiding inkues," katanya.

Cik Siti Zabedah dan Encik Visvanathan kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak mereka akan memfailkan semakan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi pada Jumaat (1 Feb).

Cik Rofiah bagaimanapun membenarkan pihak Majlis Peguam untuk menjadi peguam pemerhati dalam prosiding inkues itu.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding tersebut supaya mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan di media.

"Elak keluarkan kenyataan seperti 'kita yakin Adib mati in this way...' macam anda mendahului inkues sedangkan kita belum start lagi (prosiding inkues). Tolong elak daripada keluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Muhammad Adib, 24 tahun, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan