Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permohonan pengampunan penuh bagi santuni permintaan Najib & keluarganya, kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan pengampunan penuh bagi santuni permintaan Najib & keluarganya, kata Ahmad Zahid

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Feb 2024 02:48PM Dikemas Kini : 08 Feb 2024 02:51PM
PUTRAJAYA: Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan permohonan pengampunan penuh bagi mantan Perdana Menteri Najib Razak yang kini dipenjara adalah sebagai menyantuni permintaan Encik Najib dan keluarganya.

Menurutnya, langkah-langkah yang diambil kelak turut mengambil kira rasa hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Baginda mempunyai kuasa seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada Khamis (8 Feb), lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai kenyataan peguam Encik Najib, Encik Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan pertimbangan untuk membuat permohonan pengampunan kedua disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.
Cik Nooryana Najwa melahirkan rasa kecewa selepas bapanya, Encik Najib tidak mendapat pengampunan penuh untuk dibebaskan serta-merta.

Perasan sama turut dizahirkan Encik Najib sewaktu Cik Nooryana melawatnya selepas keputusan Lembaga Pengampunan diumumkan.

Dalam pada itu, Encik Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan pengampunan merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Maka siapa pun individu termasuk peguam hendaklah menghormati keputusan ini.

"Selanjutnya kita ambillah langkah perundangan dan apa-apa yang perlu untuk kita mengusahakan pembelaan ini kepada Najib," katanya, lapor Sinar Harian.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 pada Jumaat memutuskan hukuman terhadap Encik Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan, Encik Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Denda yang perlu dibayar Encik Najib sebanyak RM210,000,000 (S$60 juta) juga dikurangkan kepada RM50,000,000 (S$14 juta).

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Encik Najib bersalah atas tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta (S$12 juta) dan memerintahkan beliau dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta (S$60 juta).
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan