Skip to main content

Dunia

Permohonan pengampunan Najib ditangguh, kekal dipenjara

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak akan kekal dipenjara selepas permohonan baharunya bagi mendapatkan pengampunan diraja ditangguhkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan pengampunan Najib ditangguh, kekal dipenjara

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Disember 2025. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 01:40PM
  • Permohonan pengampunan diraja Najib Razak ditangguhkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Ibrahim pada 11 September.
  • Najib kekal di Penjara Kajang selepas hukuman penjaranya dikurangkan pada Januari 2024, dan rayuan tambahan berkaitan tahanan rumah telah ditarik balik.
  • Isu pengampunan Najib mencetuskan ketegangan antara UMNO dan Pakatan Harapan, dengan kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai pelaksanaan hukuman dan kuasa pengampunan Agong.
  • Dalam mesyuarat sama, 65 banduan lain dibebaskan, manakala banduan bukan warganegara akan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak akan kekal dipenjara selepas permohonan baharunya bagi mendapatkan pengampunan diraja ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan pada Jumaat (11 Sep), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri Malaysia menyatakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan supaya permohonan itu ditangguhkan ke mesyuarat lembaga berkenaan yang akan datang.

Dalam mesyuarat sama, Sultan Ibrahim memperkenankan pembebasan 65 banduan.

Banduan bukan warganegara yang dibebaskan pula akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan.

Sultan Ibrahim mempengerusikan Lembaga Pengampunan yang turut dianggotai Peguam Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta tiga anggota lain.

HUKUMAN PENJARA SUDAH DIKURANGKAN

Najib, 73 tahun, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijadualkan selesai menjalani hukuman pada 23 Ogos 2028.

Beliau sebelum ini mendapat pengampunan diraja separa pada Januari 2024 yang mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun dan dendanya daripada RM210 juta (S$65.4 juta) kepada RM50 juta (S$15.6 juta).

Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas disabitkan atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Kes itu melibatkan pemindahan RM42 juta (S$13.1 juta) daripada SRC International, bekas anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ke akaun bank peribadinya pada 2014 dan 2015.

Selepas mendapat pengampunan separa, Najib mendakwa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut mengeluarkan perintah tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan dalam rumah.

Namun, Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan perintah tambahan itu tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Januari 2024.

Najib kemudian membuat rayuan tetapi menarik balik rayuan tersebut pada April tahun ini.

ISU PENGAMPUNAN CETUS KETEGANGAN POLITIK

Permohonan pengampunan Najib turut menjadi perhatian sedang Perhimpunan Agung UMNO berlangsung dari 9 hingga 12 September.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata beliau berharap keputusan terbaik dapat dicapai berhubung permohonan tersebut.

Isu itu juga mencetuskan ketegangan antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) yang bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan.

Tanpa merujuk secara khusus kepada Najib, PH pada Rabu (9 Sep) menegaskan individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa harus menjalani sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan mahkamah.

UMNO pula menyatakan kenyataan tersebut seolah-olah mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan seperti yang termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Najib turut berdepan hukuman penjara dalam kes berasingan berkaitan 1MDB.

Pada Disember 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion (S$3.54) terhadapnya atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.2 bilion (S$685 juta) yang diseleweng daripada 1MDB.

Hukuman penjara itu dijadualkan bermula pada 2028 selepas Najib selesai menjalani hukuman semasanya. Najib sudah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita