Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permohonan pengambilan pekerja asing di M'sia tidak lagi dibekukan mulai 19 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan pengambilan pekerja asing di M'sia tidak lagi dibekukan mulai 19 Ogos

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 17 Aug 2022 08:24AM Dikemas Kini : 17 Aug 2022 08:25AM
KUALA LUMPUR: Permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing tidak lagi dibekukan bermula Jumaat ini (19 Ogos), kata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan.

Beliau berkata walaupun diputuskan untuk dihentikan sementara sebelum ini, keputusan baru itu dibuat selepas mengambil kira permintaan pihak industri.

“Saya telah putuskan untuk luluskan (permintaan industri), jadi tiada pembekuan lagi… kita terima proses permohonan baru mulai Jumaat (19 Ogos).
“Kita juga bersetuju agar semua permohonan yang diterima berhubung pengambilan 400,000 pekerja asing sebelum ini diteruskan sebelum hujung bulan,” katanya kepada para wartawan selepas perjumpaan bersama persatuan perniagaan di Wisma HRD Corp di Kuala Lumpur pada Selasa (16 Ogos).

Encik Saravanan berkata bagi memahami isu pekerja asing dengan lebih baik, pihaknya juga sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas membabitkan 15 ahli daripada industri dan lima wakil Kementerian Sumber Manusia.

“Jawatankuasa ini akan mengadakan perbincangan segera apabila perlu, sebab kita perlu membantu mereka (industri) untuk pulihkan ekonomi.

“Hari ini, kita lihat kadar pengangguran sudah mula turun dan merupakan satu perkara yang baik. Oleh itu, kalau kita bantu pihak industri, mungkin kita akan dapat atasinya dengan lebih baik,” katanya lagi.

Mengenai permintaan pihak industri untuk menangguhkan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam, Encik Saravanan berkata ia perlu dibincangkan bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kabinet.

“Ada dua jenis maklum balas diterima berhubung pindaan ini iaitu dari sudut pandangan pekerja, mereka minta kita (KSM) mempercepatkan implementasi untuk 15 juta pekerja.

“Apabila kita bincang dengan pihak industri pula, mereka minta kita tangguhkan kerana mereka baru pulih daripada kelembapan ekonomi. Saya faham permintaan kedua-dua pihak maka kita akan bincang, buat sesuatu (keputusan) yang terbaik,” katanya.

Pindaan ke atas Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 kepada 45 jam itu akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Di bawah peraturan baru itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik COVID-19.

Pindaan itu bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja dan memberi kelonggaran dalam waktu kerja selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan