Permohonan Pejuang sertai PN akan dibincang dalam mesyuarat tidak lama lagi
MARANG: Permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) akan diteliti dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu tidak lama lagi, lapor Sinar Harian.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, penyertaan mana-mana pihak dalam gabungan itu perlu dibincangkan secara kolektif supaya keputusan terbaik dapat dicapai.
“Saya ada menerima surat dari Pejuang mengenai permohonan untuk menyertai PN, kita akan bincang perkara ini dalam mesyuarat.
“(Tarikh mesyuarat) kita belum terima lagi dari setiausaha parti,” katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan Majlis Penutup Hari As-Sabiqun di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang pada Sabtu (4 Mac).
Encik Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN dan Ahli Parlimen Marang turut menyifatkan permohonan tersebut sebagai perkembangan positif buat PN.
“Itu menandakan PN mendapat sambutan daripada semua pihak,” Sinar Harian menukil Encik Abdul Hadi.
Pejuang sebelum ini memaklumkan telah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selain salinan turut diserahkan kepada Encik Abdul Hadi dan Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Menurutnya lagi, keputusan untuk membuat permohonan berkenaan disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang pada Jumaat (3 Mac) selepas penelitian semua pilihan gabungan dan kerjasama politik yang ada.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.