Skip to main content

Dunia

Permohonan Najib tangguh bayaran AS1.3 bilion kepada SRC akan didengar pada 7 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan Najib tangguh bayaran AS1.3 bilion kepada SRC akan didengar pada 7 Mei

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Apr 2026 03:02PM Dikemas Kini : 03 Apr 2026 03:03PM
  • Mahkamah Tinggi Malaysia memutuskan Najib Razak bertanggungjawab membayar AS$1.3 bilion kepada SRC International kerana pelanggaran tugas dan penyelewengan dana.
  • Keputusan dibuat pada 31 Mac, dengan prosiding kos dan permohonan penangguhan pembayaran dijadualkan pada 7 Mei secara online.
  • SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.
  • Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin mengesahkan Najib menyalahgunakan jawatan, membolehkan SRC memperoleh pinjaman besar dan dana disalurkan ke luar negara tanpa pengawasan.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaysia pada Jumaat (3 Apr) menetapkan 7 Mei ini untuk memutuskan kos dan mendengar permohonan Najib Razak bagi penangguhan pelaksanaan terhadap pembayaran sebanyak AS$1.3 bilion (S$1.67 bilion) kepada SRC International Sdn Bhd.

Peguam Lim Chee Wee yang mewakili SRC, mengesahkan tarikh berkenaan ditetapkan oleh Penolong Pendaftar Mohd Syafiq Mustaza secara online. 

“Prosiding pada bulan depan akan dijalankan menerusi Zoom (secara online),” katanya.

Pada Selasa lalu(31 Mac), Mahkamah Tinggi memutuskan mantan perdana menteri itu bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.3 bilion yang dialami SRC, selepas didapati melanggar tanggungjawab guaman, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam keputusan membenarkan saman syarikat itu berjumlah AS$1.18 bilion (S$1.52 bilion) terhadap Najib mengarahkan beliau membayar jumlah berkenaan, selain AS$120 juta (S$154.28 juta) yang diterima daripada syarikat terbabit ke dalam akaun bank peribadinya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan AS$1.3 bilion.

Mahkamah bagaimanapun tidak menetapkan kos dan membenarkan Najib menangguhkan sementara pembayaran AS$1.3 bilion itu dengan syarat beliau mengemukakan permohonan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan.

Dalam penghakimannya, Encik Ahmad Fairuz yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan berkata mahkamah mendapati Najib menyalahgunakan jawatannya, sekali gus membolehkan SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion (S$1.27 bilion) daripada Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWAP) di bawah jaminan kerajaan.

Penyalahgunaan kuasa membolehkan penyaluran terus RM3.6 bilion (S$1.15 bilion) ke luar negara tanpa pengawasan sewajarnya, sekali gus mengakibatkan penyelewengan AS$1.1 bilion (S$1.41 bilion) melalui struktur pelaburan palsu.

SRC memulakan saman pada Mei 2021, mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab guaman, menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

SRC menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya, dan menuntut Najib membayar balik kerugian AS$1.18 bilion (S$1.52 bilion) yang dialaminya.

Syarikat terbabit turut menuntut AS$120 juta (S$154.28 juta) daripada Najib.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita