Skip to main content

Dunia

Permohonan Najib Razak semak sabitan kes seleweng dana SRC ditetapkan selama 3 hari

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan Najib Razak semak sabitan kes seleweng dana SRC ditetapkan selama 3 hari

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 21 Oct 2022 06:35PM Dikemas Kini : 21 Oct 2022 06:47PM
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan tiga hari bermula 19 Jan untuk mendengar permohonan Najib Razak bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13 juta).

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yussoff dan Siti Hajar Mustaffa yang mendengar pengurusan kes pada Jumaat (21 Okt) menetapkan 19, 20 dan 26 Januari untuk mendengar permohonan semakan itu.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika dihubungi mengesahkan tarikh perbicaraan itu.

Muhammad Farhan berkata mahkamah juga menetapkan 2 Disember untuk satu lagi pengurusan kes bagi semakan tersebut.

Sementara itu, Mohd Ashrof berkata pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan hujahan masing-masing selewat-lewatnya pada 4 Jan.

Prosiding pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian itu dihadiri peguam yang mewakili Najib iaitu Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, Syafiqah Sofian dan Wan Arfan Wan Othman manakala TPR V.Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul hadir bagi pihak pendakwaan.

Mantan perdana menteri yang berusia 69 tahun itu, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda RM210 juta (S$65.4 juta) pada 23 Ogos lepas.

Najib, melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 Sept lepas, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Najib memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti berkaitan Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mendapatinya bersalah atas tujuh pertuduhan - tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$65.4 juta) atau penjara lima tahun penjara terhadap Najib dan keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas.

Najib memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.

Pihak pendakwaan, dalam afidavit jawapan yang difailkan melalui Mohd Ashrof, menyatakan permohonan semakan Najib itu tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam afidavit itu, Mohd Ashrof berkata Najib diberikan perbicaraan yang adil dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita