Permohonan Najib, isteri dan anak untuk periksa barang disita pada 14 Okt
Mahkamah Tinggi di sini hari ini (30 Ogos) menetapkan 14 Oktober bagi mendengar permohonan Encik Najib Razak dan isterinya Cik Rosmah Mansor serta anak perempuan mereka untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
KUALA LUMPUR; Mahkamah Tinggi di sini hari ini (30 Ogos) menetapkan 14 Oktober bagi mendengar permohonan Encik Najib Razak dan isterinya Cik Rosmah Mansor serta anak perempuan mereka untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya wang tunai RM537,000 (S$177,000), Pound Sterling 2,700 (S$457,000) Rupee Sri Lanka 2,870,000 (S$22,198), wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 (S$61,894) dan Pound Sterling 320,500 (S$542,070).
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aaron Chelliah, peguam Encik Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mewakili Encik Najib manakala Iskandar Shah bertindak bagi pihak Cik Rosmah dan Cik Nooryana Najwa.
Terdahulu, Encik Aaron berkata sebelum ini pihaknya sudah menerima permohonan daripada Cik Rosmah dan Cik Nooryana Najwa untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan PDRM, manakala Encik Najib baru menyerahkan permohonan untuk membuat pemeriksaan fizikal hari ini.
Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa notis pelucutan harta terhadap barangan itu sudah diwartakan pada 8 Ogos lepas.
“Pihak ketiga iaitu Malayan Banking Berhad juga hadir hari ini bagi mengetahui kedudukannya untuk menuntut harta,” katanya.
Encik Muhammd Farhan pula berkata pihaknya dimaklumkan Jabatan Peguam Negara bahawa mereka boleh melihat kesemua gambar barang yang disita PDRM, namun katanya permohonan Najib untuk membuat pemeriksaan ke atas barangan tersebut secara fizikal telah dibuat hari ini.
Sebelum ini, pada 18 Julai lepas, Encik Najib menfailkan notis usul dan hanya memohon supaya pendakwaan membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita oleh PDRM pada 17 Mei tahun lepas.
Encik Najib mengemukakan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas sudah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.
Isteri dan anak perempuannya mengemukakan permohonan sama pada 19 Julai bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita PDRM termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.
Cik Rosmah, 68 tahun, dan Cik Nooryana, 31 tahun, memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan PDRM.
Sementara itu, dalam prosiding sama peguam Encik Muhamad Al Muazzim Azmi Amin, bertindak bagi pihak Malayan Banking Berhad pula berkata kehadiran pihaknya hari ini adalah bagi mendapatkan penjelasan berhubung kedudukan mereka sama ada berhak terhadap wang yang disita bagi menyelesaikan pinjaman oleh beberapa responden.
Mahkamah memerintahkan Malayan Banking Berhad untuk mengkaji status mereka terlebih dahulu berhubung perkara itu sebelum memfailkan sebarang permohonan untuk menuntut wang yang disita SPRM berkaitan 1Malaysia Development Berhad (MDB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.