Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permohonan aktiviti pawagam pandu lalu dibenarkan tapi mesti patuh SOP, kata Ismail Sabri

Kerajaan Malaysia pada Khamis (9 Jul) bersetuju untuk membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
Permohonan aktiviti pawagam pandu lalu dibenarkan tapi mesti patuh SOP, kata Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Malaysia, Ismail Sabri Yaakob. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 09 Jul 2020 07:26PM Dikemas Kini : 09 Jul 2020 07:32PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia pada Khamis (9 Jul) bersetuju untuk membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata SOP yang perlu dipatuhi, antaranya adalah pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing, penjualan makanan dibuat secara dalam talian dan mengambil makanan secara pandu lalu.

“Petugas RELA juga perlu ditempatkan untuk mengawal pergerakan pengunjung. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti ini bagi rujukan semua operator yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai kepatuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dan mengeluarkan kompaun terhadap 11 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang melanggar SOP.

Katanya lagi, sebanyak 2,876 pasukan pematuhan melibatkan 13,545 anggota sudah membuat pemantauan di 3,804 pasar raya, 5,913 restoran serta 1,316 penjaja, 1,247 kilang, 3,767 bank dan 860 pejabat kerajaan.

Turut dipantau 1,184 terminal pengangkutan darat, 267 terminal pengangkutan air dan 122 terminal pengangkutan udara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PDRM sudah menguatkuasakan 66 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 39,407 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Dalam operasi itu, katanya, PDRM berjaya menahan 10 PATI atas kesalahan imigresen.

Mengenai operasi sanitasi awam, beliau berkata sebanyak 18 operasi sanitasi meliputi 13 zon melibatkan enam negeri termasuk Sabah, Melaka dan Terengganu diadakan semalam.

Sementara itu, katanya seramai 630 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, India, Nepal, Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, Habsyah, Brunei dan Timor Leste.

Daripada jumlah itu, 624 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala enam individu dibawa ke hospital.

“PDRM juga membuat 1,056 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati 46 tapak pembinaan patuh SOP ditetapkan, enam tapak pembinaan tidak patuh dan diberi nasihat, manakala enam lagi tapak binaan tidak beroperasi semalam.

Semalam juga, katanya, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 838 premis perniagaan serta terhadap peruncit, pemborong dan pengilang.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,795 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,772 premis mematuhi SOP manakala 23 lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” katanya. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan