Permintaan perjalanan di Asia kekal kukuh di tengah konflik Timur Tengah; tambang penerbangan tidak menentu
Permintaan perjalanan di Asia kekal kukuh meskipun ketegangan di Timur Tengah menjejas penerbangan dan menyebabkan tambang tidak menentu, dengan semakin ramai pelancong memilih perjalanan jarak dekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Skyscanner Bryan Batista bercakap kepada CNA mengenai trend perjalanan.
- Permintaan perjalanan di Asia kekal kuat walaupun ketegangan Timur Tengah mengganggu penerbangan serta menyebabkan harga bahan api dan tambang berubah-ubah.
- Bryan Batista dari Skyscanner berkata syarikat penerbangan kini lebih proaktif menyusun jadual bagi mengurangkan pembatalan dan memberi notis awal.
- Pelancong semakin memilih perjalanan jarak dekat, dengan carian dari Singapura dan Australia ke China meningkat, dibantu dasar bebas visa.
- Skyscanner melihat AI semakin penting dalam perancangan perjalanan, termasuk saranan tersuai, penapis transit dan ujian tempahan bagi pihak pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Skyscanner Bryan Batista berkata ketegangan di Timur Tengah menyebabkan harga bahan api berubah-ubah, yang kemudian turut menyebabkan turun naik pada tambang penerbangan.
Namun, beliau menarik perhatian bahawa industri pelancongan sudah terbiasa menyesuaikan diri dengan pelbagai gangguan, termasuk bencana alam.
"Perjalanan merupakan industri yang sangat berdaya tahan. Dan industri ini sudah menyesuaikan diri sewajarnya," kata Encik Batista kepada program Asia First CNA pada Rabu (30 Sep).
Menurutnya, syarikat penerbangan juga kini lebih proaktif dalam merancang jadual dengan mengambil kira kapasiti yang tersedia dan kos bahan api.
Langkah itu bertujuan mengurangkan pembatalan penerbangan serta memberikan notis awal kepada penumpang mengenai sebarang kemungkinan gangguan.
PERMINTAAN PERJALANAN DI ASIA KEKAL KUKUH
Permintaan perjalanan terus tinggi, khususnya di Asia.
Menurut Encik Batista, jumlah carian perjalanan sejagat masih meningkat, diterajui perjalanan di Asia.
Pada 2025, rantau Asia-Pasifik mencatat pertumbuhan terpantas dari segi penerbangan, iaitu sebanyak 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Minat untuk melancong juga kekal kukuh dalam kalangan pelancong Singapura.
Sekitar 89 peratus menyatakan mereka berhasrat untuk melancong sekurang-kurangnya sekerap tahun ini pada 2027.
PERJALANAN JARAK DEKAT SEMAKIN MENDAPAT PERMINTAAN
Meskipun orang ramai terus melancong, pilihan destinasi mereka kini berubah.
Skyscanner menyaksikan permintaan lebih tinggi bagi perjalanan jarak dekat sedang para pelancong cuba mengelakkan harga yang tidak menentu bagi laluan lebih jauh serta kemungkinan gangguan serantau.
Dasar kemasukan tanpa visa turut menyumbang kepada perubahan tersebut.
Menurut Encik Batista, jumlah carian bagi perjalanan dari Singapura ke China meningkat 25 peratus.
Jumlah carian dari Australia ke China pula melonjak 48 peratus berbanding setahun lalu.
Corak trafik udara juga berubah disebabkan gangguan di Timur Tengah.
Encik Batista berkata hab penerbangan seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Hong Kong mula menerima sebahagian penerbangan antarabangsa yang sebelum ini menggunakan hab tradisional di Timur Tengah.
TAMBANG PENERBANGAN MASIH TIDAK MENENTU
Turun naik harga bahan api turut memberi kesan kepada tambang penerbangan.
Menurut Encik Batista, syarikat penerbangan lazimnya menetapkan harga berdasarkan permintaan pengguna, kapasiti yang tersedia dan kos operasi, dengan bahan api pesawat merupakan antara kos terbesar.
Beliau menjangkakan tambang penerbangan boleh turun apabila harga bahan api kembali stabil.
Pada masa yang sama, para pelancong kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk menguruskan ketidaktentuan perjalanan.
Skyscanner misalnya memperkenalkan penapis persinggahan yang membolehkan pengguna mengelakkan lapangan terbang tertentu yang tidak mahu digunakan sebagai tempat transit.
Maklumat mengenai kemungkinan penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan serta produk insurans juga semakin penting bagi membantu pelancong menguruskan risiko.
AI UBAH CARA PELANCONG RANCANG PERJALANAN
Kecerdasan buatan (AI) pula semakin mengubah cara pelancong memilih destinasi dan merancang perjalanan.
Menurut Encik Batista, 65 peratus pelancong di Singapura selesa dan yakin menggunakan alat AI dalam merancang perjalanan mereka.
Beliau berkata keupayaan AI kini melangkaui fungsi carian dan membolehkan pelancong menerima saranan yang lebih relevan serta disesuaikan dengan keperluan, tujuan perjalanan dan bajet masing-masing.
Kemunculan AI generatif seperti Google Gemini dan ChatGPT turut memberi persaingan kepada wadah carian perjalanan seperti Skyscanner.
Encik Batista berkata Skyscanner sendiri sedang menggunakan teknologi serupa dan menguji keupayaan yang membolehkan AI melakukan tempahan bagi pihak pengguna.
Menurutnya, syarikat itu mahu menggabungkan teknologi AI dengan data carian penerbangan yang dikumpulnya selama dua dekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.