Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permintaan penumpang naik pada Oktober, tanda pemulihan berterusan bagi industri penerbangan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Perjalanan udara meneruskan momentum pemulihannya pada Oktober 2022 dengan jumlah trafik untuk tempoh tersebut, seperti yang diukur melalui hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat 44.6 peratus berbanding Oktober 2021.

Dalam satu kenyataan pada Khamis (1 Dis), Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata secara global, trafik kini berada pada 74.2 peratus daripada paras Oktober 2019.

IATA menyatakan trafik domestik bagi Oktober 2022 merosot 0.8 peratus berbanding tempoh tahun lalu apabila sekatan perjalanan yang ketat disebabkan COVID di China memperlahankan angka global. 

“Jumlah trafik domestik Oktober 2022 berada pada 77.9 peratus daripada paras Oktober 2019, (manakala) tempahan untuk trafik domestik kekal pada sekitar 70 peratus daripada paras prapandemik,” katanya.

IATA menyatakan trafik antarabangsa meningkat 102.4 peratus berbanding Oktober 2021.

RPK antarabangsa pada Oktober 2022 mencapai 72.1 peratus daripada paras Oktober 2019 dengan semua pasaran mencatat pertumbuhan kukuh, diterajui oleh Asia Pasifik, dedah persatuan itu.

Tempahan untuk perjalanan antarabangsa pula meningkat kepada kira-kira 75 peratus daripada tahap prapandemik, berikutan pembukaan semula sempadan yang diumumkan oleh negara-negara di Asia.

“Secara tradisinya, menjelang Oktober, kita memasuki perjalanan musim luruh yang lebih perlahan di hemisfera utara, oleh itu sangat meyakinkan untuk melihat permintaan dan tempahan terus kukuh.

"Ia memberi petanda baik untuk musim sejuk yang akan datang dan pemulihan yang berterusan," kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh.

Sementara itu, syarikat penerbangan Asia Pasifik mengalami peningkatan trafik sebanyak 440.4 peratus pada Oktober berbanding Oktober 2021, secara mudahnya mencatat kadar tahun ke tahun yang paling kukuh dalam kalangan rantau itu, menurut kenyataan tersebut.

Ia juga berkata kapasiti untuk rantau itu meningkat 165.6 peratus dan faktor beban meningkat 39.5 mata peratusan kepada 77.7 peratus.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan