Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permintaan mendadak antara punca kurang bekalan telur di Johor

Anggaran Waktu Membaca:
ISKANDAR PUTERI: Kekurangan bekalan telur ayam di pasaran di Johor Bahru berpunca daripada peningkatan permintaan yang mendadak terhadap semua jenis kategori telur sehingga melebihi bekalan sebanyak 10 hingga 12 juta biji telur seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Lee Ting Han berkata pihaknya turut mengenalpasti beberapa punca peningkatan permintaan itu, antaranya penggunaan telur bertambah di peringkat industri termasuk pembuatan kek dan roti.

Justeru, kerajaan Johor menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam usaha meningkatkan lagi pembekalan telur dan ayam di pasaran.
“Di Johor kita ada bekalan antara 10 juta hingga 12 juta telur pelbagai jenis kategori setiap minggu dan bekalan itu kekal sama, tapi permintaan meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan kekurangan di pasaran pada masa ini,” katanya kepada wartawan di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri pada Isnin (5 Dis).

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status aduan kekurangan bekalan telur dan ayam di Johor serta usaha kerajaan negeri dalam mengatasinya.

Sementara itu, Encik Lee turut mengesahkan menerima satu aduan oleh pembeli berkenaan penjualan telur kotor di daerah itu baru-baru ini dan peniaga terlibat telah dipanggil bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

"Terdapat satu hingga dua kes telur kotor dan rosak yang tular di media sosial dikesan sejak beberapa hari lepas. Satu aduan rasmi berhubung telur kotor berlaku di Johor Bahru sudah diterima dan siasatan sedang dilakukan," katanya.

Terdahulu, Encik Lee (BN-Paloh) ketika menjawab soalan lisan Jefridin Atan (BN-Kukup) berkata di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang dilaksanakan sejak 5 Februari lepas, sebanyak 6,655 pemeriksaan dilakukan dan 235 kes diambil tindakan di bawah Akta Kawasan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Daripada jumlah itu, sepuluh kes di peringkat peladang, 15 kes di peringkat pemborong dan 210 kes di peringkat peruncit. Jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah RM 118,100 (S$36,446),” katanya.

Encik Jefridin bertanyakan sama ada kerajaan Johor mempunyai perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk mengatasi masalah kekurangan barang makanan seperti ayam dan telur di pasaran terutamanya pada musim perayaan.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan