Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Permintaan hangat sut balapan ala 'Squid Game' rancakkan semula sektor pakaian Korea Selatan

Sut balapan berwarna hijau dan merah jambu seperti yang digayakan watak-watak dalam rancangan popular Netflix "Squid Game" menghidupkan semula industri pakaian Korea Selatan yang terjejas teruk dek pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan hangat sut balapan ala 'Squid Game' rancakkan semula sektor pakaian Korea Selatan

(Gambar: Kim Hong-ji/REUTERS)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 09:28PM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 11:12PM

SEOUL: Sut balapan berwarna hijau dan merah jambu seperti yang digayakan watak-watak dalam rancangan popular Netflix "Squid Game" menghidupkan semula industri pakaian Korea Selatan yang terjejas teruk dek pandemik COVID-19.

Bunyi mesin jahit menderu-deru di sebuah kilang pakaian seluas 500 meter persegi di daerah Seongbuk, di ibu kota Seoul minggu ini. Gelendong benang hijau dan merah jambu dilihat menari-nari di atas mesin-mesin jahit tepi, yang sekali-sekala bising berkeletak-keletuk sedang para pekerja di sana berlumba untuk memenuhi tempahan.

"Bulan Oktober biasanya tempoh yang lembab bagi industri jahitan tetapi disebabkan Squid Game dan Halloween, kami bergegas untuk menjahit," kongsi pemilik kilang berusia 54 tahun, Cik Kim Jin-ja kepada Reuters.

"Kami kini sedang menjahit 6,000 sut balapan hijau untuk kanak-kanak."

(Gambar: Kim Hong-ji/REUTERS)

(Gambar: Kim Hong-ji/ REUTERS)

Cik Kim turut berkongsi bahawa jualan tahunannya sebanyak 1.5 bilion won (S$1.7 juta) menjunam kepada sepertiga sahaja setelah pandemik COVID-19 melanda. Sebahagian besar tempahannya sebelum itu diterima dari Jepun, tetapi sekatan perjalanan memaksa Cik Kim untuk menutup kilangnya pada Ogos dan September.

Beliau berharap tempahan yang kini diterima akan menjangkaui musim Halloween dan melihat kemungkinan bahawa eksport dapat dirancakkan semula menerusi jenama "Buatan Korea".

Malah, sebelum pandemik lagi, industri pakaian Korea Selatan sudah merudum, dengan gaji pekerja yang lebih tinggi menyukarkan negara itu untuk bersaing dengan China, Vietnam atau Indonesia.

Sebanyak 70 peratus - atau 1,510 - daripada 2,144 syarikat pengilangan di Seongbuk adalah syarikat pakaian, menurut pengerusi Persatuan Menjahit Tekstil Fesyen Seoul, Oh Byung-yeol, kepada Reuters.

"Tempoh dua tahun dengan COVID sangat sukar bagi perbadanan fesyen tempatan," kongsi Datuk Bandar Seongbuk Lee Seung-ro.

"(Bagaimanapun) Squid Game, yang menjadi sensasi di peringkat sejagat, juga membuat sut balapan popular di sini, sekali gus membawa kepada gelombang tempahan."

Sepasang sut balapan Squid Game untuk kanak-kanak dijual pada harga 30,000 won (S$34.35) di Pasar Namdaemun, yang merupakan pasar tradisional terbesar negara itu di mana barangan dapur dan barang kemas juga boleh diperolehi.

Seorang penjual pakaian di pasar tersebut berkata dia dan para penjual lain tidak mempunyai sut balapan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Menurut Netflix, Squid Game sudahpun ditonton 142 juta keluarga sejak ia mula ditayangkan pada 17 September dan memikat 4.38 juta pelanggan baru bagi khidmat penstriman terbesar dunia itu. 

Sumber : Reuters/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan