Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS perluaskan kapasiti ujian cacar monyet sedang jumlah kes bertambah

Anggaran Waktu Membaca:
AS perluaskan kapasiti ujian cacar monyet sedang jumlah kes bertambah

(Gambar: Brian W.J. Mahy/Centers for Disease Control and Prevention/AFP)

Diterbitkan : 23 Jun 2022 11:47AM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 11:47AM

WASHINGTON: Pentadbiran Biden mengumumkan pada Rabu (22 Jun) bahawa ia sedang memperluaskan kapasiti ujian cacar monyet kepada lima syarikat makmal komersil di tengah-tengah peningkatan kes penyakit itu.

Setakat Selasa (21 Jun), terdapat 142 kes cacar monyet dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) di 24 negeri dan Washington, DC.

Kes pertama cacar monyet di AS dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada 17 Mei, lapor Reuters.

"Semua rakyat Amerika harus berasa bimbang tentang kes cacar monyet. Mujur kami kini mempunyai peralatan untuk melawan dan merawat kes-kes itu di Amerika," kata Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia (HHS) Xavier Becerra. 

"Dengan meluaskan secara ketara bilangan lokasi ujian di seluruh negara, kami membolehkan sesiapa sahaja yang perlu menjalani ujian untuk berbuat demikian."

CDC sudah mula menghantar ujian cacar monyet kepada lima syarikat - Aegis Science, Labcorp, Mayo Clinic Laboratories, Quest Diagnostics dan Sonic Healthcare, menurut HHS.

HHS menyatakan para penyedia jagaan kesihatan akan dapat menggunakan makmal tersebut menjelang awal Julai.

Lebih 40 negara di mana cacar monyet bukan endemik sudah melaporkan penularan penyakit itu dengan kes yang disahkan menjangkaui 3,000. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan membuat keputusan pada Khamis sama ada untuk mengisytiharkan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global.

Cacar monyet, yang merebak melalui kontak rapat dan pertama kali dikesan pada monyet, kebanyakannya berlaku di bahagian barat serta tengah Afrika dan hanya sekali-sekala merebak ke bahagian lain di dunia. 

Sumber : Reuters/KF/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa