Skip to main content

Dunia

Perlu punya aplikasi All Indonesia untuk pengunjung melalui Jakarta, Bali, Surabaya dan Batam

Para penumpang antarabangsa yang tiba di Indonesia akan diwajibkan mengisi borang perisytiharan ketibaan menerusi aplikasi All Indonesia, bermula Isnin (1 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Perlu punya aplikasi All Indonesia untuk pengunjung melalui Jakarta, Bali, Surabaya dan Batam

Mulai 1 September 2025, para penumpang antarabangsa yang tiba di Indonesia diwajibkan mengisi borang perisytiharan ketibaan menerusi aplikasi All Indonesia. (Gambar: Direktorat Jeneral Imigresen Indonesia)

JAKARTA: Para penumpang antarabangsa yang tiba di Indonesia akan diwajibkan mengisi borang perisytiharan ketibaan menerusi aplikasi All Indonesia, bermula Isnin (1 Sep).

Direktorat Jeneral Imigresen Indonesia mengumumkan bahawa syarat itu buat masa ini tertakluk ke atas pelawat yang tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Banten, Lapangan Terbang Juanda di Jawa Timur dan Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai di Bali, serta pelabuhan Batam di Kepulauan Riau.

Namun, ia akan diuji cuba di semua lapangan terbang, syarikat penerbangan dan pelabuhan antarabangsa.

Pemangku Direktorat Jeneral Imigresen Yuldi Yusman berkata aplikasi itu menyatukan perisytiharan imigresen, kastam, kesihatan dan kuarantin dalam satu borang digital.

Pelawat boleh mengisinya secara percuma seawal tiga hari sebelum ketibaan.

"Dengan aplikasi itu, proses ketibaan bukan sahaja lebih singkat dan selamat, tetapi juga lebih mesra pengguna bagi semua penumpang, termasuk warga emas, kanak-kanak, dan mereka yang kurang upaya, kata Encik Yuldi Yusman.

Aplikasi itu juga menyepadukan perisytiharan kastam elektronik (e-CD), sekali gus membolehkan pemeriksaan kesihatan bagi penyakit berjangkit, serta membolehkan penyerahan maklumat tentang produk haiwan, ikan dan produk berkaitan untuk menyokong pemantauan kuarantin dan jaminan makanan.

Encik Yuldi Yusman menggesa pelawat asing dan rakyat yang pulang ke tanah air supaya menggunakan aplikasi berkenaan yang boleh dimuat turun daripada Google Play atau Apple App Store.

"Aplikasi itu bukan sahaja memudahkan tetapi juga melindungi Indonesia kerana setiap data yang diberikan boleh membantu jamin keselamatan, harta benda dan kedaulatan sempadan negara itu," kata beliau.
Sumber : Agensi berita/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita