Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perlindungan terbaik bagi kanak-kanak menerusi vaksin COVID-19, kata Dr Janil

Cara terbaik untuk ibu bapa melindungi anak-anak adalah dengan memberikan vaksin COVID-19 kepada mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Perlindungan terbaik bagi kanak-kanak menerusi vaksin COVID-19, kata Dr Janil

(Gambar: Alex Liew/iStockphoto)

SINGAPURA: Cara terbaik untuk ibu bapa melindungi anak-anak adalah dengan memberikan vaksin COVID-19 kepada mereka.

Demikian menurut Dr Janil Puthucheary pada Selasa (14 Dis).

Menteri Negara Kanan Kesihatan itu berkata Pemerintah memahami bahawa ada sesetengah ibu bapa yang bimbang untuk mendapatkan vaksin bagi anak mereka.

"Mereka mahukan yang terbaik bagi anak-anak mereka. Mereka ingin melindungi anak-anak mereka dan mewujudkan peluang untuk anak-anak mereka," katanya.

"Dan ini yang kami mahukan juga. Dan penilaian kami adalah cara yang terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan memberi vaksin kepada anak-anak kita."

Bercakap di satu sidang media oleh pasukan bertindak nasional bagi COVID-19, beliau menambah bahawa analisisnya adalah manfaat vaksinasi jauh lebih mengatasi risiko dijangkiti COVID-19.

Penguasa Sains Kesihatan meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 bagi kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun setelah berunding dengan para kakitangan jagaan kesihatan pediatrik.

Dr Puthucheary juga berkata risiko kejadian buruk berlaku akibat vaksinasi hanyalah satu dalam sejuta. Namun risiko kejadian serius sekiranya kanak-kanak itu dijangkiti COVID-19 adalah kira-kira 100 kali lebih berkemungkinan berlaku atau satu daripada 10,000.

Walaupun kesan COVID-19 seringkali lebih ringan dalam kalangan kanak-kanak berbanding golongan dewasa, vaksinasi tetap menjadi pilihan lebih selamat berbanding dijangkiti virus itu.

"Masih terdapat risiko kanak-kanak boleh menghidap penyakit serius dengan sesetengah kes memerlukan kemasukan ke hospital, bantuan oksigen tambahan dan kemasukan ke unit jagaan rapi (ICU)," kata Dr Puthucheary.

Beliau menambah bahawa terdapat satu hingga dua kes sindrom keradangan pelbagai sistem (MISC) dalam kanak-kanak setiap minggu sejak pertengahan Oktober dan segelintir daripada mereka perlu dimasukkan ke ICU.

Selain daripada mengurangkan risiko kanak-kanak jatuh sakit teruk atau mengalami MISC, vaksinasi mengurangkan risiko anggota keluarga lain dijangkiti virus lalu jatuh sakit.

"Anak-anak kita, seperti yang anda tahu, akan meluangkan banyak masa di tempat-tempat seperti sekolah dan prasekolah. Dan di sana, jangkitan boleh menular dengan pantas... apabila kanak-kanak itu bergaul, dan ini meletakkan risiko ke atas anggota keluarga kanak-kanak itu."

Mereka juga mungkin mempunyai adik beradik yang masih kecil dan oleh demikian, belum lagi layak mendapatkan vaksin atau mereka yang lebih berumur seperti datuk dan nenek, di mana risiko jangkitan adalah lebih tinggi walaupun mereka sudah lengkap divaksin, kata Dr Puthucheary.

Mendapatkan vaksin juga bermakna bahawa pendidikan dan peluang kanak-kanak itu untuk mengambil bahagian dalam kegiatan luar darjah di sekolah mungkin kurang terjejas.

Mereka mungkin mengalami sedikit kesan sampingan seperti sakit otot, kemerah-merahan, bengkak, keletihan, pening kepala, demam atau seram sejuk selepas mendapatkan vaksin. Namun ini adalah tanda-tanda bahawa tubuh mereka mula bertindak balas kepada vaksin sedang ia memperkukuh perlindungan dan daya tahan tubuh. Kesan sampingan itu akan reda dalam masa beberapa hari, kata Dr Puthucheary.

Kanak-kanak yang mengalami alahan serius setelah mendapatkan vaksin juga jarang berlaku, berdasarkan uji cuba yang dijalankan di Amerika Syarikat.

Program vaksinasi bagi kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun di Singapura akan bermula sebelum hujung tahun ini dan sebaik sahaja dos-dos vaksin sudah dihantar.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan