Perkhidmatan bas rentas Malaysia-Singapura dijangka beroperasi 1 Mei

Gambar: BERNAMA
JOHOR BAHRU: Perkhidmatan bas henti-henti antara Malaysia dengan Singapura dijangka mula beroperasi pada 1 Mei ini, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata ketika ini, hanya 24 bas digunakan - yang sebelum ini dikhaskan bagi Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) Darat - manakala enam bas perantara untuk merentas sempadan.
Perbincangan mengenai jumlah pengoperasian bas henti-henti sedang dilakukan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan keputusan mengenai perkara itu dijangka diumumkan dua minggu lagi, katanya.
Dr Wee berkata buat masa ini, terdapat beberapa masalah yang perlu diselesaikan oleh pengusaha bas henti-henti. Antaranya, penyelenggaraan dan pemeriksaan di Puspakom sebelum kembali beroperasi.
"Jadi untuk dua minggu ini, kita masih guna bas VTL. Dalam tempoh dua minggu ini juga, perkhidmatan bas dijangka beransur pulih dan mampu pulih sepenuhnya ke tahap sebelum COVID-19," katanya kepada wartawan selepas meninjau pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura di Bangunan Sultan Iskandar.
Setakat 4.00 petang, beliau berkata sebanyak 4,435 kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura sudah memasuki Malaysia dengan 2,835 kenderaan melalui Bangunan Sultan Iskandar manakala 1,600 lagi menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.