Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perkahwinan Puteri Sultan Brunei kekalkan adat lama dengan sentuhan moden

Anggaran Waktu Membaca:
Perkahwinan Puteri Sultan Brunei kekalkan adat lama dengan sentuhan moden

(Gambar: @muash.portfolio/Instagram)

BRUNEI DARUSSALAM: Majlis Istiadat Perkahwinan puteri kedua bongsu Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan pasangan pilihan, Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi berlangsung selama 10 hari. 

Dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada Ahad (16 Jan) di Istana Nurul Iman, Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan pasangannya ditunangkan pada Selasa (18 Jan) dalam Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja. 

(Gambar: JAPEN Brunei)

Pada Khamis lepas (20 Jan), dengan sekali lafaz, Pengiran Anak Puteri Fadzilah bergelar isteri kepada pasangan pilihannya dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Majlis Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan. 

Majlis bersejarah itu disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui platform digital dan juga elektronik.

(Gambar: @newtron_bw/Instagram)

Puteri Fadzilah memperagakan hasil sentuhan pereka terkenal Malaysia, Bernard Chandran. Berbusana serba putih dengan hiasan renda klasik, tidak dinafikan kehebatan Bernard yang sering kali menjadi pilihan selebriti ternama dan orang kenamaan, termasuk kerabat diraja, lapor Astro AWANI. 

Puteri Fadzilah didandan oleh jurusolek artis antarabangsa, Newtron Whangvisarn, menerusi perkongsian Instagramnya. 

Selepas majlis akad nikah itu, ia diteruskan dengan istiadat bersanding pengantin diraja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman pada Ahad (23 Jan). 

Majlis persandingan bermula dengan keberangkatan ahli-ahli Kerabat Diraja Brunei, disusuli keberangkatan masuk Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. 

Istiadat dimulakan dengan awang-awang menyalakan Dian Empat, atau lilin sebagai lambang keunikan adat istiadat diraja. 

Pengantin perempuan yang anggun memakai Persalinan Songket Brunei kemudian diarak masuk ke Balai Singgahsana Indera Buana, diikuti pengantin lelaki yang turut memakai songket sedondon.

Sebelum pengantin lelaki berarak masuk ke singgahsana Diraja dihias indah, beliau disiapkan dengan air pandan yang dicampur bunga-bunga segar untuk memberi aroma wangian ketika bersanding.

 

(Gambar: RTB)

Sejurus tiba di Singgahsana, Sultan Brunei menapakkan tangan pengantin lelaki ke atas kepala anaknya sambil diiringi selawat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan Pehin Datu Seri Maharaja Ustaz Awang Abdul Aziz Juned.

Seiring istiadat itu, 17 das meriam turut dilepaskan.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan sebelum Pengiran Muda 'Abdul Mateen mengiringi kedua-dua mempelai turun singgahsana.

Pasangan pengantin kemudian bersalaman dengan Sultan, Permaisuri serta ibu kepada pengantin perempuan, Puan Hajah Mariam Haji Abdul Aziz.

Ia kemudian diteruskan dengan Majlis Persantapan Diraja dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Darussidiq, Jerudong sebelum diakhiri pada Selasa (25 Jan) dengan Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Istana Nurul Iman.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan