Perjanjian jenayah siber PBB bakal dimeterai di Hanoi, timbulkan harapan dan kebimbangan
Satu perjanjian penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung jenayah siber yang bertujuan membendung salah laku bernilai trilion dolar kepada ekonomi global setiap tahun dijangka ditandatangani di Hanoi pada hujung minggu ini, meskipun ia menerima kritikan mengenai risiko terhadap hak asasi manusia.
Bangunan kolonial dengan bendera Vietnam di kawasan Old Quarter, Hanoi, Vietnam. (Gambar fail: iStock)
Konvensyen tersebut, yang akan berkuat kuasa selepas disahkan oleh 40 negara, merupakan satu langkah yang belum pernah diambil sebelum ini, yang dijangka PBB dapat menjadikan tindak balas terhadap jenayah siber lebih cepat dan berkesan.
Namun, para aktivis, syarikat teknologi utama dan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya penyalahgunaan akibat definisi kesalahan yang kurang jelas, dengan sesetengah pihak berpendapat bahawa ia mungkin memudahkan, dan bukannya membendung, kegiatan jenayah siber.
Senarai negara yang akan menandatangani perjanjian itu belum diumumkan, namun Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada dijangka menandatangani perjanjian berkenaan, yang menurut mereka mengandungi perlindungan terhadap hak asasi manusia. Jabatan Negara Amerika Syarikat pula enggan mengesahkan sama ada wakilnya akan menghadiri majlis tersebut.
PEMILIHAN VIETNAM SEBAGAI TUAN RUMAH DIPERTIKAIKAN
Pemilihan Vietnam sebagai tuan rumah menimbulkan kecaman disebabkan oleh rekod hak asasi manusianya. Dalam satu laporan pada Ogos lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat menyebut bahawa Vietnam menghadapi “isu hak asasi manusia yang ketara”, termasuk sekatan terhadap kebebasan bersuara secara online.
Menurut Human Rights Watch, sekurang-kurangnya 40 individu ditahan tahun ini di Vietnam atas tuduhan melakukan kesalahan termasuk memuat naik kandungan yang menentang pemerintah.
Negara komunis satu parti itu berharap dapat meningkatkan profil antarabangsanya dengan menjadi tuan rumah bagi acara tersebut, dan melihat perjanjian itu sebagai alat untuk memperkukuhkan pertahanan sibernya, kata para pegawai Vietnam.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dijadual menghadiri majlis bagi menandatangani perjanjian itu pada Sabtu (25 Okt).
PENGKRITIK GELAR PERSETUJUAN ITU SEBAGAI “PERJANJIAN PENGINTIPAN”
Cybersecurity Tech Accord, gabungan yang merangkumi syarikat Meta dan Microsoft, melabelkan persetujuan itu sebagai “perjanjian pengintipan” yang memudahkan pertukaran data peribadi antara pemerintah dan berisiko "memudahkan, bukan menyukarkan, para penjenayah untuk menjalankan jenayah siber".
Menurut PBB, konvensyen itu menyasarkan pelbagai bentuk jenayah termasuk pancingan data, perisian tebusan, pemerdagangan online dan ucapan berunsur kebencian, sambil menganggarkan bahawa kerugian ekonomi global akibat jenayah siber mencecah trilion dolar setiap tahun.
Namun, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia memberi amaran semasa rundingan perjanjian tersebut bahawa “undang-undang dengan definisi jenayah siber yang terlalu luas sering kali digunakan untuk mengehadkan kebebasan bersuara.”
Raman Jit Singh Chima daripada kumpulan advokasi Access Now pula berkata perjanjian itu berpotensi memudahkan ekstradisi individu-individu yang dianiaya oleh pemerintah mereka. Tindakan menandatangani perjanjian itu di Vietnam, kata beliau, “menghantar isyarat buruk" kepada para pembela hak asasi manusia.
Pegawai kanan keselamatan siber Vietnam, Le Xuan Minh, berkata negara itu kini berdepan dengan peningkatan serangan siber ke atas pelbagai infrastruktur penting serta syarikat besar, dan kerjasama antarabangsa dapat membantu dalam mengenal pasti para pelakunya.
Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), yang mengetuai rundingan perjanjian itu, menegaskan bahawa perjanjian tersebut mengandungi peruntukan untuk melindungi hak asasi manusia, serta membolehkan negara-negara untuk menolak permintaan kerjasama yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Aktivis-aktivis dan syarikat teknologi turut menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian itu boleh menjadikan tindakan para penggodam beretika yang menguji sistem untuk mengenal pasti kelemahan sebagai jenayah, terutamanya apabila penemuan mereka mendedahkan kelemahan keselamatan yang ada kaitannya dengan sesebuah pemerintah.
UNODC menjelaskan bahawa konvensyen tersebut “menggalakkan" negara-negara untuk menyokong aktiviti penyelidikan yang sah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.