Perjanjian gencatan senjata semakin rapuh selepas Hamas tuduh Israel serang Gaza
Bangunan-bangunan yang musnah selepas pengeboman selama dua tahun oleh tentera Israel berhampiran pantai di Gaza City, pada 15 Oktober 2025. (Gambar: AP)
Serangan Israel pada Ahad adalah ujian paling serius dalam gencatan senjata yang sudah pun rapuh, yang berkuat kuasa pada 11 Oktober.
Penduduk Palestin di Gaza memberitahu Reuters bahawa mereka terdengar bunyi letupan dan tembakan di Rafah di selatan Carikan Gaza dan para saksi secara berasingan melaporkan menyaksikan serangan tembakan dari kereta kebal Israel di bandar timur Abassan berhampiran Khan Younis, juga di selatan Gaza.
Para saksi di Khan Younis terdengar bunyi gelombang serangan udara dilancarkan di Rafah pada awal petang Ahad.
Seorang jurucakap pemerintah Israel, apabila diminta pengesahan mengenai serangan itu, merujuk kepada pihak tentera.
Tentera Israel bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang komen.
DUA MAUT DALAM SERANGAN UDARA DI UTARA GAZA
Pihak berkuasa kesihatan tempatan di Gaza menyatakan pada Ahad bahawa dua penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Jabalia di utara Gaza.
Times of Israel melaporkan tentera Israel melancarkan serangan udara di kawasan Rafah selepas Hamas menyerang tentera Israel di sana, walaupun ia tidak menukil sebarang sumber maklumat.
Seorang pegawai tentera Israel menyatakan pada Ahad bahawa Hamas melancarkan beberapa serangan terhadap tentera Israel di Gaza, termasuk serangan bom tangan yang dilancarkan daripada roket dan serangan hendap terhadap tentera Israel.
"Kedua-dua kejadian berlaku di kawasan kawalan Israel... Ini satu pelanggaran gencatan senjata secara terang-terangan," kata pegawai tersebut.
Pegawai kanan Hamas Izzat Al Risheq berkata pada Ahad bahawa Hamas kekal komited kepada gencatan senjata itu, di mana beliau menuduh Israel berkali-kali melanggarnya.
Al Risheq mahupun pegawai tentera Israel tidak mengulas tentang serangan Israel yang dilaporkan berlaku di Gaza.
Pejabat media pemerintah di Gaza menyatakan pada Sabtu bahawa Israel melakukan 47 pelanggaran selepas perjanjian gencatan senjata dimeterai, menyebabkan 38 orang maut dan 143 orang cedera.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.