Skip to main content

Dunia

Perjanjian antara Aeroline-Corus KLCC tamat selepas hotel ditutup

Anggaran Waktu Membaca:
Perjanjian antara Aeroline-Corus KLCC tamat selepas hotel ditutup
Malayan United Industries Bhd telah menjual hotel dan tanah seluas 1.46 ekar itu kepada Kumpulan Mah Sing pada harga RM260 juta (S$81.94 juta). (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Selepas 23 tahun menjalinkan kerjasama, akhirnya perkongsian antara Aeroline dengan Hotel Corus KLCC sampai ke penghujungnya.

Hotel yang jaraknya terletak hanya 10 minit berjalan kaki dari Menara Berkembar Petronas, akan menamatkan operasinya pada Ahad (18 Jan).

Malayan United Industries Bhd telah menjual hotel dan tanah seluas 1.46 ekar itu kepada Kumpulan Mah Sing pada harga RM260 juta (S$81.94 juta).

Dengan itu, tamatlah perjanjian eksklusif selama 23 tahun antara hotel dan syarikat bas tersebut.

"Acara hari ini adalah mengenai hubungan unik dan jarang berlaku di tempat lain.

"Ia merupakan hubungan sinergi antara Aeroline dan pemilik hotel, Kumpulan MUI.

"Hubungan strategik ini telah bertahan begitu lama dan kami hanya berharap ia dapat diteruskan," kata Ketua Pengawai Operasi Zulco Sdn Bhd Law Cheok Gheen kepada Bernama susuli acara 'Journey to Family: A Chapter Written Together' di Hotel Corus pada Sabtu (17 Jan).

Menurut Encik Law, beliau mengurus dan mengendalikan 22 buah bas Aeroline.

Beliau berkata, kerajaan memberi Zulco tempoh moratorium sehingga 18 Feb, 2026 tetapi hotel itu akan menamatkan operasinya pada Ahad.

"Kami telah memohon kepada kerajaan untuk melanjutkan tempoh moratorium bagi membolehkan proses peralihan berjalan lancar dengan penutupan hotel," kata Encik Law sambil menambah, buat sementara waktu Aeroline akan menggunakan kedai barang kemas CERES sebagai lokasi menurun/mengambil penumpang.

Encik Law berkata sebelum ini Zulco beroperasi dari Pudu Raya dan ia hanyalah salah satu pengendali bas pada tahun 1990-an.

Mengulas lanjut, beliau berkata khidmat bas mewah dari Kuala Lumpur ke Singapura itu kemudian beroperasi dari Hotel Corus KLCC di Jalan Ampang.

Jelasnya, perniagaan itu perlu mencari lokasi mengambil/menurunkan penumpang yang sesuai, sekali gus menjadi situasi yang saling menguntungkan kepada syarikat bas, kerana penumpang yang kebanyakannya adalah pelancong, memerlukan penginapan dan hotel.

"Hubungan antara Aeroline-Corus berjaya membantu mengisi 7,000 bilik setiap tahun selama bertahun-tahun hasil daripada 4.7 juta penumpang yang menggunakan hab bas Corus KLCC ini, tidak termasuk pada tahun pandemik COVID-19," kata Encik Law.

Menurut Encik Law, seperti rakan sejawatnya di seluruh dunia, syarikat bas dan sektor hospitaliti sangat terjejas ketika COVID-19 melanda pada 2020 dan 2021, tetapi pengurusan Hotel Corus terus menyokong syarikatnya.

"Kami menjadi sebuah keluarga. Ketika itulah kami sedar bahawa adalah mungkin untuk mempunyai keluarga di luar keluarga kami," kata Encik Law.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Mui Pel Loh berkata daripada 4.7 juta penumpang yang menggunakan hab bas mini hotel itu, secara puratanya 20 peratus menginap di hotel tersebut.

"Kerjasama antara Corus-Aeroline ini ternyata sangat memudahkan penumpang dan tetamu hotel.

"Ia merupakan satu formula yang berjaya bagi Zulco, Corus dan tetamu kami," kata Cik Loh.

Bagaimanapun, menurut Cik Loh, pada awalnya Kumpulan MUI agak ragu-ragu dengan kerjasama itu.

"Tetapi selepas bertemu dengan pihak pengurusan, kami membuat keputusan untuk memberi mereka peluang.

"Maskotnya, iaitu seorang lelaki berpakaian eksekutif sedang berlari sambil membawa beg bimbit, memberikan makna yang sangat tersirat.

"Dan seperti yang diwar-warkan, mereka membawa konsep ini dari segi perkhidmatan yang berkualiti, produk yang selesa dan masa yang sempurna serta perkhidmatan yang telah dicontohi oleh orang lain.

"Orang yang menerbangkan pesawat dipanggil kapten, dan Aeroline memanggil pemandu mereka sebagai kapten bas.

"Hari ini, perkhidmatan lain telah mencontohi konsep ini.

"Dan mereka menghantar tetamu mereka ke depan pintu kami dengan sembilan ketibaan/pelepasan setiap hari tujuh hari seminggu," kata Cik Loh.

Oleh itu, dengan penutupan hotel tersebut hari ini, bermulalah babak baharu bagi Aeroline dan kakitangan Hotel Corus.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita