Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perjalanan politik KJ belum berakhir; tidak tolak kemungkinan bertanding dalam PRN Selangor

Mantan Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin sedang mempertimbangkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin sedang mempertimbangkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Encik Khairy menambah bahawa beliau masih terbuka untuk menyertai PRN Selangor sebagai seorang calon bebas, parti baru yang diasaskan sendiri ataupun mewakili gabungan serta parti-parti politik sedia ada.

Encik Khairy berkata demikian pada Isnin (30 Jan) dalam satu wawancara eksklusif bersama CNA.

Ini menyusuli pemecatan beliau daripada parti UMNO lewat Jumaat malam (27 Jan).

Sejak itu, beliau sudah "dilamar" para pemimpin pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkongsian beliau di akaun media sosialnya, Encik Khairy juga dipercayai bakal menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim dan Penasihat Orang Muda Johor.

Perkembangan tersebut turut disampaikan sendiri oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

TIDAK AKAN BUAT RAYUAN TETAPI...

Dalam wawancara tersebut, Encik Khairy menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak akan membuat rayuan terhadap pemecatannya daripada UMNO.

Sungguhpun demikian, beliau tidak menolak kemungkinan kembali kepada parti yang mana beliau sudah menjadi ahli selama 23 tahun.

"Saya tidak menolak kemungkin untuk kembali kepada UMNO tetapi perlu ada perubahan ketara dalam UMNO untuk saya kembali. Jika saya kembali kepada UMNO yang seperti hari ini, ia membuang masa," katanya.

Encik Khairy yang juga merupakan mantan Ketua Pemuda UMNO berkata beliau percaya amat sukar untuk UMNO bangkit daripada cabaran dihadapi sekarang.

Beliau bagaimanapun menjelaskan ini bukan disebabkan episod pemecatan atau penggantungan lebih 40 ahli pada tiga hari lalu tetapi beliau berpendapat UMNO semakin lemah dengan hanya 26 kerusi Dewan Rakyat, enggan berubah serta sokongan awam berada pada paras paling rendah dalam sejarah.

Apabila ditanya adakah beliau merasakan beliau sebenarnya peluang terbaik untuk UMNO bangkit kembali, Encik Khairy berkata parti tersebut memerlukan sepasukan pemimpin.

"Bukan saja saya. Ia sepasukan pemimpin yang mahu menawarkan diri mereka bagi kepimpinan UMNO. Kebangkitan semula tidak akan berlaku sekelip mata, kami perlu membentangkan visi untuk pemulihan, pembangunan semula UMNO tetapi kami tidak dibenarkan melakukannya," jawab Encik Khairy.

RANCANGAN MASA TERDEKAT KJ

Buat masa terdekat, mantan Ahli Parlimen Rembau itu berkongsi beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding dalam PRN Selangor.

Malaysia perlu mengadakan enam PRN di negeri-negeri yang tidak membubarkan kerajaan negeri semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu.

Selain Selangor, dua lagi negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang perlu mengadakan PRN ialah Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Baki tiga negeri pula adalah di bawah pentadbiran PN iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Encik Khairy berkata: "Saya sudah memaklumkan kepada semua bahawa saya sudah meninggalkan Negeri Sembilan dan berhijrah ke Selangor. Walaupun ketibaan saya adalah pada saat-saat akhir ke Sungai Buluh, di sinilah pusat politik Malaysia di mana aksi politik berlaku. Saya mahu membangunkan pangkalan saya di sini."

Dengan keenam-enam PRN perlu diadakan menjelang September tahun ini, timbul persoalan panji politik mana yang akan Encik Khairy wakili jika ingin bertanding nanti.

"Pasaran politik agak luas sekarang dengan adanya beberapa parti. Menubuhkan sebuah parti baru adalah satu pilihan. Menyertai sebuah parti sedia ada ternyata satu lagi pilihan. Saya ingin mengambil sedikit masa dan melihat yang mana lebih bermakna," kata beliau.

PERJALANAN LEBIH 2 DEKAD BERSAMA UMNO; MASIH MAHU JADI PM?

Mengimbau kembali perjalanan lebih dua dekad bersama UMNO, Encik Khairy menyifatkannya sebagai penuh berliku.

Beliau membidas dakwaan bahawa beliau mendapat jalan mudah memandangkan Encik Khairy merupakan menantu kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kelima Abdullah Badawi.

Beliau merujuk kepada satu tempoh yang mana beliau diketepikan apabila Najib Razak menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Meski berdepan dengan cabaran ketika itu, Encik Khairy berjaya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Apabila beliau akhirnya berjaya menjadi menteri Kabinet, UMNO pula tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

"Saya terima mungkin pada awalnya saya diberi jalan mudah tetapi sejak itu perjalanannya penuh naik turun. Saya menjadi ahli UMNO selama 23 tahun dan ia merupakan segalanya untuk saya. Melihat kesudahannya hari ini memang amat menyedihkan," luah beliau.

Pun begitu, Encik Khairy memberitahu aspirasi beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti masih belum terkubur.
Beliau berkata: "Saya fikir kita memerlukan orang yang berterus terang tentang cita-cita mereka dengan visi yang terbuka, progresif dan tahu bagaimana untuk memaksimumkan potensi negara ini. Jadi tidak salah untuk mempunyai aspirasi itu."
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan