Perjalanan Kereta Api Laju antara Seremban, S'pura disingkatkan kepada 2 jam
Tempoh perjalanan antara Seremban dengan Singapura akan dikurangkan kepada dua jam berbanding tiga jam, sebaik Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) beroperasi pada hujung tahun 2026.
SEREMBAN: Tempoh perjalanan antara Seremban dengan Singapura akan dikurangkan kepada dua jam berbanding tiga jam, sebaik Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) beroperasi pada hujung tahun 2026.
Perjalanan ke terminal Bandar Malaysia di Kuala Lumpur hanya akan mengambil masa 20 minit berbanding 55 minit dengan menaiki kereta buat masa ini.
Negeri Sembilan akan mempunyai 52 kilometer daripada jumlah anggaran panjang jajaran iaitu 328 kilometer.
"Reka bentuk stesen HSR Seremban diilhamkan daripada Istana Seri Menanti. Ia akan terletak di daerah Labu, kira-kira 15 km ke bandar lama Seremban dan 5 km ke stesen Keretapi Tanah Melayu Labu," kata Pengarah Komersial MyHSR Corp Sdn Bhd, Tonny Yeap kepada pemberita pada taklimat hari ini (8 Dis).
Beliau berkata selain perkhidmatan ekspres Kuala Lumpur ke Singapura, HSR akan menyediakan hubungan bandar ke bandar, membolehkan penumpang dari Seremban melakukan perjalanan dengan mudah tempat-tempat seperti Bangi, Putrajaya, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
"Kami bercadang untuk memperkenalkan dua dua perkhidmatan kereta api laju (HSR) antara Bandar Malaysia dan Jurong East, Singapura dan dua lagi bagi hubungan domestik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penyampaian Projek, Mark Loader berkata kurang daripada lima peratus daripada keseluruhan jajaran projek di bawah tanah berikutan terowong yang memerlukan kos tinggi untuk dibina.
Mengenai pengambilalihan tanah pula, ia katanya dijangka bermula pada separuh kedua tahun depan.
"Selepas tempoh pemeriksaan awam berakhir pada 31 Jan tahun depan, kami memerlukan masa untuk mengkaji maklum balas sebelum mengemukakannya kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Selepas diluluskan oleh SPAD, kita boleh mula mengambil alih tanah," kata Encik Loader.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.