Peristiwa rogol beramai-ramai 1998 diketepikan dalam penulisan semula sejarah nasional Indonesia
Perbuatan rogol beramai-ramai yang dilakukan semasa rusuhan Indonesia pada 1998 tidak akan dimasukkan dalam projek penulisan semula sejarah nasional yang sedang dijalankan, menurut Menteri Kebudayaan negara itu.
Menteri Kebudayaan Fadli Zon bercakap semasa mesyuarat dengan Dewan Perwakilan Rakyat di Kompleks Parlimen di Jakarta pada 2 Julai 2025. (Gambar: Instagram/@fadlizon)
Pada Rabu (2 Julai), Encik Fadli Zon turut mengesahkan bahawa projek tersebut akan diteruskan, walaupun ia mengundang kritikan daripada ahli sejarah dan aktivis hak asasi manusia.
“Kami berharap sejarah nasional kita dapat mengukuhkan perpaduan bangsa dari segi kepelbagaian,” kata Encik Fadli semasa mesyuarat dengan Dewan Perwakilan Rakyat di Kompleks Parlimen, seperti yang dipetik agensi berita tempatan Antara.
Encik Fadli mengatakan bahawa semakan semula naratif sejarah rasmi negara bertujuan untuk mempromosikan perpaduan nasional yang mengelakkan perpecahan etnik dan komuniti secara mendalam melalui penceritaan semula peristiwa penting secara positif.
Ini walaupun terdapat penemuan oleh pasukan pencari fakta bebas rasmi, TGPF, pada Oktober 1998 yang mendokumentasikan keganasan seksual meluas semasa rusuhan tersebut, dengan 52 mangsa rogol disahkan, menurut portal berita tempatan Jakarta Globe.
Laporan pasukan pencari fakta bebas itu merangkumi 14 kejadian rogol yang turut melibatkan keganasan fizikal, 10 mangsa serangan seksual, dan sembilan mangsa gangguan seksual di Jakarta, Medan dan Surabaya.
Laporan itu sebelum ini diterima oleh mantan Presiden BJ Habibie, yang menyatakan rasa kesal terhadap keganasan tersebut, kata Pesuruhjaya Dahlia Madanih daripada Suruhanjaya Nasional Anti-Keganasan terhadap Wanita bulan lalu.
Berucap semasa sesi pendengaran parlimen pada Rabu, Encik Fadli mengakui kewujudan keganasan seksual pada 1998 namun mempersoalkan penggunaan istilah “rogol beramai-ramai”, yang menurutnya memerlukan pengesahan dari segi undang-undang dan sejarah.
“Secara peribadi, saya mengakui dan mengecam peristiwa tersebut tetapi perkataan ‘beramai-ramai’ perlu dibuktikan,” kata menteri itu seperti yang dipetik Jakarta Globe.
“Kita bukan hendak menyiasat siapa pelakunya, tetapi memastikan ia tidak berulang lagi,” kata Encik Fadli kepada ahli parlimen pada Rabu, sambil menambah bahawa pemerintah lebih cenderung untuk mengetengahkan naratif yang menyatukan negara menerusi buku-buku sejarah yang baharu.
Kata beliau, naratif tersebut termasuk pencapaian antarabangsa dan peranan kepimpinan global, seperti Persidangan Asia-Afrika yang diadakan di Bandung pada 1955, serta Gerakan Negara-Negara Berkecuali, yang mana Indonesia merupakan ahli pengasasnya.
Kenyataan terkini Encik Fadli pada Rabu, dalam sesi pendengaran tersebut, mencetuskan reaksi penuh emosi daripada ahli parlimen MY Esti Wijayati dan Mercy Barends dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
“Lagi sakit rasanya lagi lama anda bercakap, Encik Fadli,” kata Cik Esti seperti yang dipetik Jakarta Globe, dengan suara yang bergetar sambil mengingat kembali detik di mana beliau tidak dapat pulang ke rumah semasa pergolakan 1998.
Menyusuli komen Cik Esti, Encik Fadli memohon maaf sekiranya kenyataannya disifatkan sebagai tidak sensitif, tetapi mengulangi bahawa dokumentasi yang jelas dan pengesahan undang-undang diperlukan sebelum peristiwa tersebut boleh diklasifikasikan sebagai “rogol beramai-ramai”.
“Jika boleh dikesan siapa kumpulan dan pelakunya, ia akan lebih jelas,” kata menteri itu, sambil menambah bahawa beliau tidak berniat untuk menafikan atau menutup peristiwa ganas tersebut.
Encik Fadli, yang merupakan sebahagian daripada parti Gerindra pimpinan Presiden Prabowo Subianto, berkata penulisan semula sejarah itu disasarkan siap menjelang Ogos ini bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-80 Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.