Skip to main content

Dunia

Peristiwa 'mata lebam' cerita lama, kata Rahim Noor

Bekas Ketua Polis Negara Rahim Noor berkata peristiwa "mata lebam" Encik Anwar Ibrahim pada 1998 tidak relevan dalam pelantikannya sebagai fasilitator rundingan damai wilayah selatan Thailand. 

Anggaran Waktu Membaca:
Peristiwa 'mata lebam' cerita lama, kata Rahim Noor

Bekas Ketua Polis Negara Rahim Noor. (Gambar: Facebook/Figaro Tan)

Diterbitkan : 28 Aug 2018 07:55AM Dikemas Kini : 28 Aug 2018 11:12AM

MALAYSIA: Bekas Ketua Polis Negara Rahim Noor berkata peristiwa "mata lebam" Encik Anwar Ibrahim pada 1998 tidak relevan dalam pelantikannya sebagai fasilitator rundingan damai wilayah selatan Thailand.

Menurut Malaysiakini, Encik Rahim Noor menyifatkannya sebagai peristiwa lama dan beliau percaya kerajaan memilihnya atas peranannya ketika rundingan damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989.

Rundingan itu menyaksikan PKM menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand - dinamakan sebagai Perjanjian Hat Yai - menamatkan pemberontakan lebih 40 tahun, lapor Malaysiakini.

"Apa yang berlaku pada waktu itu (peristiwa mata lebam), waktu itulah. Tidak relevan untuk beliau (Nurul Izzah) mengaitkannya dengan pelantikan saya.

"Melainkan keputusan untuk melantik saya dibantah pihak berkuasa Thai atau MARA Pattani (wakil beberapa kumpulan militan di sana). Setakat ini, daripada maklum balas yang saya terima, tiada yang menunjukkan bantahan mereka.

"Dua pihak inilah yang penting dalam proses damai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pagi semalam (26 Ogos), Cik Nurul Izzah menyuarakan bantahan terhadap pelantikan Encik Rahim yang disifatkannya sebagai "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah."

Cik Izzah merujuk kepada Encik Anwar yang diserang ketika dalam tahanan polis selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998. Gambar mata lebamnya menjadi salah satu simbol gerakan Reformasi.

Ia berikutan laporan menyatakan Encik Rahim akan menggantikan Encik Ahmad Zamzamin Hashim untuk jawatan tersebut. Encik Rahim yang menjadi IGP antara 1994 hingga 1999 berkata reaksi seumpama itu sudah dijangka daripada seorang ahli politik.

Malaysiakini melaporkan lagi bahawa, beliau berkata kerajaan juga mungkin memilihnya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan dalam soal keselamatan dan sempadan.  

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita