Perintah berkurung diisytiharkan di pusat bandar Los Angeles
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass mengumumkan perintah berkurung di beberapa kawasan di bandar itu susulan bantahan yang sedang berlangsung, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Anggota Pengawal Negara California berdiri dalam satu barisan, menghalang pintu masuk ke Bangunan Persekutuan, ketika penunjuk perasaan berkumpul berhampiran, semasa bantahan terhadap serbuan imigresen, di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, pada 9 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Leah Millis)
"Saya ingin memaklumkan kepada penduduk bahawa saya mengisytiharkan darurat dan mengeluarkan perintah berkurung di pusat bandar Los Angeles untuk menghentikan vandalisme dan rompakan," kata Cik Bass pada sidang media Selasa malam (10 Jun), menurut laporan The Los Angeles Times.
Perintah berkurung itu akan bermula pada Selasa dari pukul 8.00 malam hingga pukul 6.00 pagi, tetapi tidak akan tertakluk kepada individu yang tinggal dalam kawasan yang ditetapkan.
"Saya mengeluarkan perintah berkurung bermula pukul 8 malam ini di Pusat Bandar Los Angeles untuk menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab yang memanfaatkan kekacauan akibat tindakan Presiden.
“Jika anda tidak tinggal atau bekerja di Pusat Bandar L.A., hindari kawasan itu. Polis akan memberkas individu yang melanggar perintah berkurung dan mereka akan didakwa," kata Cik Bass menerusi catatan di X.
Perintah berkurung itu meliputi kawasan seluas satu batu persegi di pusat bandar Los Angeles, dari Lebuh Raya 5 ke Lebuh Raya 110, dan dari Lebuh Raya 10 ke kawasan pertemuan Lebuh Raya 110 dan Lebuh Raya 5, katanya.
Cik Bass menjangkakan perintah berkurung akan berkuat kuasa selama beberapa hari.
Bagaimanapun, keputusan untuk menamatkan perintah itu belum dibuat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.