Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perikatan tentera pimpinan Saudi bedil ibu kota Yaman susuli serangan Houthi

Perikatan tentera pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Yaman, Sanaa yang dikuasai Houthi pada Ahad (7 Mac), setelah memintas serangan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan pemberontak tersebut yang disokong oleh Iran, lapor media rasmi Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Perikatan tentera pimpinan Saudi bedil ibu kota Yaman susuli serangan Houthi

Kepulan asap kelihatan susuli serangan udara oleh perikatan Arab Saudi ke atas Sanaa, ibu kota Yaman. (Gambar: AFP/Mohammed Huwais)

Diterbitkan : 08 Mar 2021 08:24AM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 08:29AM

RIYADH: Perikatan tentera pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Yaman, Sanaa yang dikuasai Houthi pada Ahad (7 Mac), setelah memintas serangan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan pemberontak tersebut yang disokong oleh Iran, lapor media rasmi Saudi.

Serangan balas itu meningkatkan lagi ketegangan dalam konflik enam tahun antara pemerintah Yaman yang disokong oleh perikatan tersebut dengan kumpulan Houthi, sedang Amerika Syarikat memperbaharui usaha untuk mengendurkan permusuhan itu.

Serangan perikatan itu mencetuskan letupan besar yang menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi ruang udara Sanaa, menurut para koresponden AFP di tempat kejadian. Kumpulan Houthi melaporkan tujuh serangan udara dilancarkan ke atas bandar itu.

"Operasi tentera ini menyasarkan kepentingan tentera Houthi di Sanaa dan sejumlah wilayah lain," menurut perikatan tersebut seperti dilaporkan oleh media rasmi Saudi Press Agency (SPA).

Menurut Saudi, ia berjaya memintas 12 serangan dron dan dua serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan pemberontak itu pada Ahad, dengan jumlah serangan yang dilancarkan ke atas Saudi meningkat dengan ketara.

Perikatan itu menyatakan serangan dron disasarkan terhadap "orang awam" di Arab Saudi, lapor SPA, tanpa menyatakan lokasinya.

Kedua-dua peluru berpandu yang berjaya dipintas itu menyasarkan bandar Jizan di bahagian selatan Saudi, tambah perikatan itu, tanpa menyatakan sama ada terdapat sebarang korban jiwa atau kerosakan.

Houthi bagaimanapun tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Sungguhpun demikian, Houthi sudah meningkatkan serangan ke atas Yaman untuk menawan kubu kuat pemerintah di Marib.

Ketegangan yang memuncak itu dikhuatiri akan menjejas usaha Washington untuk menghuraikan konflik yang sudah meragut berpuluh-puluh ribu nyawa dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal, menurut pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan