Perikatan parti politik Presiden Prabowo dijangka menang besar dalam Pilkada Indonesia
(Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo)
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan pihak-pihak dari Koalisi Indonesia Maju (KIM Plus) berada di landasan yang kukuh untuk menang besar dalam pilihan raya serentak pertama di negara itu pada Rabu (27 Nov), walaupun keadaannya berbeza di ibu kota Jakarta.
Keputusan perikatan parti politik yang memenangi wilayah penting tetapi kalah di Jakarta menunjukkan pengaruh besar Encik Prabowo di kebanyakan wilayah nusantara, dan berkurangnya pengaruh saingannya – Cik Megawati Soekarnoputri, yang juga pengerusi Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan mantan presiden Indonesia.
Menurut “kiraan cepat” oleh sebilangan pengkaji, calon-calon KIM Plus nampaknya bakal menguasai wilayah-wilayah penting seperti Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan Sumatera Utara.
Namun, pertandingan tiga penjuru bagi jawatan gabenor di ibu kota Jakarta masih belum pasti walaupun calon PDI-P, Encik Pramono Anung, mendahului, dengan pelbagai kiraan pantas menunjukkan beliau memperoleh kurang, atau lebih, 50 peratus undian.
Jakarta adalah satu-satunya wilayah yang persaingan bagi jawatan gabenor akan diteruskan ke pusingan kedua awal tahun depan, sekiranya tiada calon yang memperoleh lebih separuh undian.
Calon KIM Plus untuk Jakarta, Ridwan Kamil, berada di belakang dengan hampir 40 peratus undian, manakala calon bebas Dharma Pongrekun meraih sekitar 10 peratus.
“Melihat kepada keputusan tinjauan keluar dan kiraan pantas, yang berada pada kira-kira 85 peratus, menunjukkan kami mendahului di pelbagai wilayah di Jakarta, hampir di semua kawasan,” kata Encik Pramono, 61 tahun, di Jakarta pada petang Rabu (27 Nov).
“Kiraan pantas menunjukkan margin ralat adalah kira-kira 1 peratus. Jadi sama ada ini berakhir dalam satu pusingan atau dua, kami akan ketahuinya malam ini,” tambahnya.
“Kami akan tunggu keputusan kiraan sebenar, harapnya kami boleh mendapatkannya segera.”
Pesaingnya, Encik Ridwan, 53 tahun, berkata: "Kami telah melihat keputusan kiraan pantas, majoriti (keputusan menunjukkan persaingan mungkin tidak berakhir dalam) satu pusingan.”
“Kami akan menunggu keputusan kiraan pantas dan juga dari suruhanjaya pilihan raya Jakarta,” katanya.
Rakyat Indonesia keluar mengundi untuk memilih 37 gabenor, 93 walikota atau datuk bandar dan 415 bupati atau ketua daerah dari pukul 7.00 pagi hingga 1.00 petang waktu tempatan pada Rabu.
Keputusan setakat ini membuktikan besarnya pengaruh Encik Prabowo dan mantan Presiden, Joko Widodo, yang telah menyokong calon pilihan mereka di beberapa wilayah menjelang hari undian.
Bagi PDI-P, parti terbesar di parlimen negara dan satu-satunya parti besar yang tidak menyertai perikatan parti politik Encik Prabowo, keputusan ini mencerminkan cabaran yang dihadapi dalam meraih semula sokongan orang ramai, termasuk di wilayah seperti Jawa Tengah yang dianggap sebagai kubu kuat mereka, kata seorang penganalisis.
“Pilihan raya serentak hari ini sangat penting kerana ia adalah ujian politik untuk melihat sama ada perikatan parti politik nasional itu juga dapat berjaya di peringkat wilayah dan, sebaliknya, sama ada pihak pembangkang dapat memenangi wilayah untuk perundingan politik,” kata Encik Wasisto Raharjo Jati, seorang penganalisis politik dari Badan Riset dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN) kepada Mediacorp.
Pilihan raya serentak ini berlangsung selang lebih sebulan selepas pelantikan Encik Prabowo pada 20 Oktober dan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya Umum mempunyai masa sehingga 16 Disember untuk mengeluarkan keputusan rasmi, keputusan kiraan pantas biasanya agak tepat.
KEMENANGAN BAGI PERIKATAN PARTI POLITIK PRABOWO
Menjelang hari undian, persaingan untuk Jawa Tengah dikatakan terlalu sengit.
Namun kiraan pantas menunjukkan calon KIM Plus Ahmad Luthfi semakin hampir untuk menang dengan hampir 60 peratus undian, mendahului pesaingnya dari PDI-P, Andika Perkasa.
Di Jawa Timur, pengkaji Lingkaran Survei Indonesia menunjukkan penyandang jawatan dan calon yang disokong KIM Plus, Khofifar Indah Parawansa, mendahului dengan kira-kira 58 peratus undian berbanding dua pesaing lain.
Di Jawa Barat, Dedi Mulyadi yang disokong KIM Plus memperoleh kira-kira 61 peratus undian, mendahului tiga pesaing lain.
Di Sumatera Utara, menantu Encik Widodo, Bobby Nasution, yang merupakan datuk bandar ibu kota wilayah Medan, nampaknya akan mengalahkan penyandang jawatan, Edy Rahmayadi, dengan sokongan sekitar 62 peratus, menurut kiraan pantas.
Cik Megawati dari PDI-P belum memberikan komen mengenai keputusan setakat ini, manakala Encik Prabowo dan Encik Widodo menyeru untuk bersatu padu dan bersikap rendah hati selepas mereka mengundi pada pagi tersebut.
“Setiap pilihan raya ada yang menang dan ada yang kalah. Mereka yang menang mesti memimpin untuk semua, dan mereka yang kalah mesti bekerjasama. Yang paling penting adalah berkhidmat dan bekerja untuk rakyat,” kata Encik Prabowo selepas mengundi di Jawa Barat.
Encik Widodo, yang mengundi di Solo, Jawa Tengah, berkata: “Selepas kiraan, siapa yang menang tidak boleh sombong, dan mereka yang kalah mesti menerima keputusan, kerana kedaulatan ada di tangan rakyat.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.